Projek pusat data Sime Darby di Elmina berjalan lancar, hasil sewaan pertama dijangka mencecah RM50 juta setahun bermula FY27 – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pusat data Sime Darby di Elmina berjalan lancar, hasil sewaan pertama dijangka mencecah RM50 juta setahun bermula FY27 – RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – Sime Darby Property Berhad kini berada di landasan kukuh dalam pembangunan dua pusat data berskala besar di Elmina Business Park dengan Pusat Data 1 dijangka siap pada separuh kedua 2026 dan Pusat Data 2 menjelang suku ketiga 2027,” kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata projek tersebut dijangka menyumbang pendapatan sewaan berjumlah RM7.6 bilion untuk tempoh 20 tahun pertama, sekaligus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap syarikat.

 

RHB Research mengekalkan cadangan beli untuk saham Sime Darby Property dengan harga sasaran RM2.33, menawarkan potensi kenaikan sehingga 76 peratus berbanding harga semasa RM1.32. Hasil dividen bagi tahun kewangan 2026 pula dijangka sekitar tiga peratus.

 

“Kontrak pertama bagi Pusat Data 1 bernilai RM1.3 bilion telah ditandatangani pada Oktober 2025 bagi kerja-kerja pembinaan, penyelesaian, ujian dan pentauliahan pusat data bagi pelanggan Pearl Computing. 

 

“Semalam, kontrak kedua bernilai RM658.01 juta diberikan kepada IJM sebagai sambungan projek pertama melalui proses tender yang melibatkan empat peserta daripada sembilan kontraktor.

 

“Kerja-kerja bagi projek kedua dijangka bermula suku kedua 2026 dan keseluruhan projek dijangka siap menjelang suku ketiga 2027. Kami menjangkakan hasil sewaan Pusat Data 1 mula diterima pada akhir 2026, manakala Pusat Data 2 menyusul selepas siap sepenuhnya,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya hari ini.

 

Nilai sewaan Pusat Data 1 dianggarkan RM2 bilion manakala Pusat Data 2 RM5.6 bilion untuk tempoh 20 tahun. Sime Darby Property dijangka menyesuaikan pegangan dalam projek kedua bagi menyeimbangkan kemampuan pembiayaan dengan pembangunan hartanah industri lain.

 

RHB Research berkata sumbangan hasil daripada Pusat Data 1 dijangka meningkatkan keuntungan bagi tahun kewangan 2027, dengan anggaran pendapatan bersih sekitar RM40 hingga 50 juta setahun pada tahun-tahun awal selepas mengambil kira kos faedah pinjaman yang berkaitan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IJM menang tender RM658 juta bina pusat data di Elmina

 

“Selain projek pusat data, Sime Darby Property merancang menyenaraikan hartanah industrinya di bawah dana amanah hartanah pada tahun depan sekiranya konflik di Timur Tengah reda. Langkah ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada penilaian semula saham,” katanya.

 

Dalam aspek alam sekitar, syarikat memperoleh skor keseluruhan 3.2 daripada 4. Usaha kelestarian yang dilaksanakan termasuk menukar 36,000 tan batang sawit menjadi pelet biojisim, menanam lebih 90,000 pokok sejak 2011, serta memiliki tujuh projek bersijil hijau.

 

Inisiatif sosial syarikat termasuk pembangunan rumah untuk komuniti B40, rumah mesra generasi dan disabiliti, serta program pendidikan untuk kanak-kanak berkaitan kelestarian dan alam sekitar.

 

Tadbir urus korporat dikekalkan dengan 56 peratus ahli lembaga bebas dan pendedahan penuh gaji serta bonus pengurusan, termasuk pasukan hubungan pelabur yang aktif mengadakan mesyuarat berkala.

 

Sime Darby Property juga merancang memasang solar di kawasan perbandaran yang dibangunkan sekali gus membekalkan tenaga hijau kepada pelbagai pihak termasuk kawasan industri.

 

Berdasarkan unjuran RHB Research, keuntungan berulang bagi tahun kewangan 2026 dijangka RM581 juta, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala bagi 2027 dijangka RM613 juta. 

 

Dengan projek pusat data yang berjalan lancar, strategi pelaburan hartanah yang mantap, dan inisiatif hijau serta sosial yang kukuh, RHB Research menilai Sime Darby Property sebagai syarikat yang menarik untuk pelabur jangka sederhana hingga panjang. - DagangNews.com