Projek pemulihan hutan oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia di Sabah raih pengiktirafan antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pemulihan hutan oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia di Sabah raih pengiktirafan antarabangsa

Penduduk Kampung Tampenau menunjukkan anak benih pokok yang akan dibekalkan untuk projek pemulihan hutan yang diterajui Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua Lahad Datu - Gambar MPOGCF
Fokus Berita Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN di Sabah

KETIKA industri sawit Malaysia sering menjadi perdebatan di peringkat antarabangsa berkaitan isu alam sekitar, satu pendekatan berbeza sedang dilaksanakan di timur Sabah. 

 

Di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama-Malua Lahad Datu, projek pemulihan habitat Orang Utan yang diterajui Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dilihat sebagai usaha yang terbukti untuk mengimbangi pembangunan industri dan pemuliharaan biodiversiti.

 

Projek ini dilaksanakan bagi memulihkan kawasan hutan yang musnah akibat kebakaran besar ketika fenomena El Niño pada tahun 1983, 1997 dan 1998 serta aktiviti pembalakan yang tidak terancang sebelum itu..

 

Pada masa yang sama, ia turut menjadi sebahagian usaha Malaysia dalam menjawab isu antarabangsa berkaitan kelestarian industri sawit dengan menunjukkan pendekatan pemulihan hutan yang lebih sistematik.

 


Pengiktirafan antarabangsa melalui pensijilan Preferred by Nature (PbN) bagi Piawaian Pengesahan Lapangan Pemulihan Ekosistem V3.1 mengesahkan pelaksanaan projek ini memenuhi piawaian global. Pensijilan ini menilai aspek pemulihan ekosistem secara menyeluruh termasuk keberkesanan kerja lapangan serta pematuhan kepada standard antarabangsa.

 

t
Pegawai Perhutanan Sabah menunjukkan kawasan hutan rosak yang akan dipulihkan dalam projek fasa ketiga tidak lama lagi

 

Projek yang dilaksanakan secara berstruktur melalui kerjasama antara MPOGCF dan Jabatan Perhutanan Sabah ini membuktikan industri sawit Malaysia semakin bergerak ke arah pendekatan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar, selari dengan tuntutan dan piawaian global.

 

Komitmen itu diterjemahkan melalui peruntukan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan Projek Pemulihan Hutan Habitat Orang Utan di Lower Kawag di kawasan seluas 2,500 hektar sepanjang tempoh 10 tahun, bermula pada 2019 hingga 2029. 

 

Eksekutif Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF, Ts Daniel Pamin berkata pelaburan jangka panjang ini menggambarkan kesungguhan MPOGCF untuk memastikan pemulihan hutan tidak terhenti di pertengahan jalan.

 

“Hari ini, kawasan yang pernah terjejas itu telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Perlindungan Kelas I. Status tersebut memastikan kawasan berkenaan terus dipelihara demi kelangsungan habitat  Orang Utan serta pelbagai spesies flora dan fauna yang menjadikan hutan tropika Sabah sebagai rumah mereka,” katanya kepada media yang mengikuti program lawatan ke lokasi pemuliharaan MPOGCF selama empat hari ke Tawau dan Sandakan, baru-baru ini.

 

t
Projek pemulihan hutan fasa kedua seluas 200 hektar menunjukkan kejayaan dengan tumbesaran pokok yang sempurna

 

Memulihkan Hutan, Mengembalikan Kehidupan

Sejak projek bermula pada 2019, lebih 100,000 anak pokok spesies tempatan telah ditanam bagi mengembalikan struktur asal hutan. Antaranya ialah Talisai, Binuang dan Laran, selain spesies kayu keras daripada keluarga Dipterokarpa seperti Seraya dan Kapur yang terkenal sebagai antara pokok utama dalam ekosistem hutan hujan tropika Borneo.

 

Beliau berkata pelaksanaan projek menyaksikan sebanyak 18 spesies pokok tempatan ditanam dan pemilihan spesies bukan dilakukan secara rawak, sebaliknya berdasarkan kesesuaiannya untuk mempercepatkan proses pemulihan hutan serta menyediakan sumber makanan dan tempat perlindungan kepada hidupan liar, khususnya Orang Utan.

 

 

t
Daniel Pamin 

 

“Hasil pemantauan yang dijalankan menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan. Pokok-pokok yang ditanam membesar dengan baik dan ini membuktikan  pendekatan pemulihan yang sistematik mampu menghidupkan semula kawasan hutan yang suatu ketika dahulu dianggap sukar dipulihkan.

 

“Kejayaan inilah yang akhirnya membawa kepada pengiktirafan antarabangsa apabila fasa kedua projek yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 200 hektar berjaya memenuhi piawaian ketat yang ditetapkan oleh Preferred by Nature. 

 

“Pensijilan tersebut bukan sahaja mengiktiraf hasil yang dicapai, malah mengesahkan bahawa setiap proses pemulihan dilaksanakan mengikut amalan terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

 

t
Kewujudan sarang Orang Utan di projek fasa kedua menjadi bukti usaha pemulihan hutan semakin berjaya apabila menjadi habitat yang subur dan seimbang untuk hidupan liar

 

Dari Komuniti ke Hutan Borneo: Model Konservasi MPOGCF Yang Mendapat Pengiktirafan Dunia


Di sebalik kejayaan projek pemulihan habitat Orang Utan di Lower Kawag, terdapat sebuah perkampungan kecil yang memainkan peranan cukup besar. 

 

Kampung Tampenau yang terletak dalam Parlimen Silam bukan sekadar membekalkan anak benih, malah menjadi nadi kepada kejayaan projek yang diterajui MPOGCF.

 


Menariknya, nama Kampung Tampenau mempunyai sejarah yang tersendiri. Ia diambil daripada gabungan tiga daerah asal peneroka awal iaitu Tambunan (TAM), Penampang (PE) dan Ranau (PAU- yang digabungkan menjadi Tampenau). 

 

Kampung yang diwujudkan pada tahun 1973 itu kini dihuni kira-kira 600 penduduk yang hidup harmoni dengan alam sekitar dan menjadi rakan penting dalam usaha pemulihan hutan di Sabah.

 

t

 

t

 

Kampung Tampenau, Nadi Kejayaan Projek Pemulihan

Melalui bimbingan MPOGCF, penduduk kampung tidak hanya menjadi pemerhati kepada usaha konservasi, sebaliknya muncul sebagai antara ‘hero’ penggerak utama projek. 

 

Di halaman rumah dan kebun masing-masing, mereka membangunkan nurseri komuniti yang membekalkan ribuan anak benih untuk ditanam semula di kawasan hutan yang terjejas.

 

Pendekatan tersebut memperlihatkan bagaimana pemuliharaan alam sekitar mampu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat. Setiap anak benih yang dibesarkan bukan sahaja menyumbang kepada pemulihan habitat Orang Utan, malah membuka peluang pendapatan tambahan kepada keluarga yang terlibat.

 

Daniel berkata seramai 114 peserta berusia antara 21 hingga 84 tahun menyertai program nurseri komuniti itu yang memperlihatkan semangat penduduk kampung dalam menjayakan usaha yang memberi manfaat kepada generasi hari ini dan masa depan.

 

t
Rose Gangot 

 

Seorang peserta, Rose Gangot, 63, berkata penglibatannya bukan sekadar untuk menjana pendapatan, tetapi sebagai tanggungjawab menjaga khazanah alam yang diwarisi. 

 

Baginya, setiap anak pokok yang dibesarkan membawa harapan agar hutan Sabah terus menjadi habitat yang selamat untuk Orang Utan dan hidupan liar lain.

 

“Lagipun, dari kecil kami sudah biasa dengan hutan dan peluang yang diberikan oleh MPOGCF ini sangat bagus kerana dapat memberi kami pendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000 untuk setiap kali projek berjalan.

 

“Lebih banyak anak pokok yang dibekalkan kepada MPOGFC dan Jabatan Perhutanan Sabah, lebih banyak hasilnya yang lebih lumayan,” katanya.

 

t
Sintina Sirap

 

Bagi Sintina Sirap pula, 84, usia bukan alasan untuk berhenti menyumbang kepada projek tersebut.

 

Walaupun menjadi peserta yang paling tua, beliau masih aktif menguruskan anak benih di nurseri komuniti dengan rutin jadual bermula 8 pagi masuk ke hutan mencari anak pokok yang sesuai.

 

“Ini kan kerja sampingan dan terpulang kepada kami untuk menguruskan masa mengikut kesesuaian. Bukan duit yang jadi fokus utama sebab hobi saya memang suka menanam sejak usia muda. Apabila berpeluang dapat pendapatan tambahan, kita manfaatkan sebaiknya,” katanya.

 

Ada peserta yang mampu membekalkan sehingga 2,000 anak pokok dalam satu-satu musim. Setiap anak pokok yang memenuhi spesifikasi projek dibeli pada kadar RM7 sepokok yang memberi pulangan berbaloi kepada peserta tanpa menjejaskan kelestarian sumber hutan.

 

Konservasi Yang Memberi Manfaat Kepada Komuniti

Bagi memastikan spesies yang ditanam benar-benar sesuai dengan ekosistem setempat, sebahagian benih diperoleh daripada hutan berhampiran sebelum disemai di nurseri komuniti. 

 

Proses ini memerlukan pengetahuan, kesabaran dan pengalaman kerana tidak semua spesies mudah ditemui atau bercambah.

 

Antara spesies yang sering mendapat perhatian ialah Seraya dan Kapur, manakala Binuang pula dianggap antara yang paling sukar diperoleh. 

 

Namun, cabaran tersebut tidak mematahkan semangat komuniti kerana mereka sedar setiap anak benih yang berjaya dibesarkan bakal memainkan peranan penting dalam memulihkan hutan tropika Sabah yang menjadi kebanggaan negara.

 

Lebih membanggakan, program nurseri komuniti telah menjana hasil jualan anak benih hampir RM1 juta kepada penduduk Kampung Tampenau. Pencapaian ini membuktikan bahawa pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja memberi manfaat kepada hutan, malah mampu meningkatkan kesejahteraan ekonomi masyarakat luar bandar.

t
Wakil media pelbagai agensi turut diberi peluang menanam pokok dengan identiti masing-masing di tapak projek fasa kedua pemulihan hutan tersebut

 

t

Konservasi Yang Membina Masa Depan

Kejayaan program nurseri komuniti menjadi pemangkin kepada pelaksanaan fasa kedua projek pemulihan habitat Orang Utan yang dimulakan dengan peruntukan hampir RM1 juta. Pelaburan itu membolehkan kerja-kerja penanaman semula diperluaskan yang akan mempercepatkan lagi usaha menghidupkan semula kawasan hutan yang terjejas.

 

Pegawai Pemuliharaan Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah, Jacklyn Ambrose berkata dalam fasa kedua, sebanyak 80,000 anak pokok daripada 18 spesies tempatan berjaya ditanam di kawasan projek. 

 

Beliau berkata setiap spesies dipilih berdasarkan kesesuaiannya dengan ekosistem hutan hujan tropika Sabah bagi memastikan proses pemulihan berlaku secara semula jadi dan berterusan.

 

“Kejayaan tersebut tidak hanya diukur melalui jumlah pokok yang ditanam, tetapi juga melalui kadar pertumbuhan yang memberangsangkan serta peningkatan kualiti habitat hutan. 

 

“Inilah antara faktor yang membolehkan projek berkenaan menerima pengiktirafan antarabangsa daripada Preferred by Nature, sekali gus meletakkan usaha pemulihan yang diterajui MPOGCF setanding dengan amalan terbaik di peringkat global.

 

“Projek ini turut membuktikan bahawa industri sawit Malaysia mampu memainkan peranan yang lebih besar daripada sekadar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

“Melalui pendekatan yang menitikberatkan kelestarian, sektor ini juga berupaya menjadi pemangkin kepada pemuliharaan biodiversiti serta pemulihan ekosistem yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat,” katanya.

 

t
Wartawan ekonomi DagangNews turut menanam anak benih pokok Seraya Tembaga di tapak projek pemulihan fasa kedua Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama-Malua Lahad Datu

 

Di Sabah, usaha seperti ini mempunyai nilai yang amat besar. Negeri yang terkenal dengan kekayaan biodiversiti dunia bukan sahaja menjadi antara pengeluar utama minyak sawit negara, malah turut memikul tanggungjawab penting dalam melindungi habitat spesies ikonik seperti orangutan Borneo. 

 

Projek yang diterajui MPOGCF memperlihatkan bahawa kedua-dua matlamat tersebut mampu dicapai secara seimbang.

 

Model Konservasi Yang Wajar Dicontohi


MPOGCF akan meneruskan fasa ketiga projek yang melibatkan kawasan seluas 132 hektar dengan sasaran penanaman lebih 32,000 anak pokok seterusnya memperkukuhkan lagi landskap hutan yang sedang dipulihkan sejak beberapa tahun lalu.

 

Apa yang berlaku di Lower Kawag hari ini merupakan contoh bagaimana kerjasama erat antara MPOGCF, Jabatan Perhutanan Sabah dan komuniti setempat mampu menghasilkan impak yang jauh lebih besar daripada usaha yang dilaksanakan secara bersendirian. 

 

Setiap pihak memainkan peranan masing-masing, namun berkongsi matlamat yang sama, iaitu memulihkan khazanah alam untuk generasi akan datang. - DagangNews.com