Projek Pangkalan Operasi Hadapan di Pulau Mabul mesti diteruskan — Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek Pangkalan Operasi Hadapan di Pulau Mabul mesti diteruskan — Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR 6 Okt — Projek Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul, Semporna wajar disiapkan untuk mempertingkatkan tahap pengoperasian dan keberkesanan kawalan keselamatan perairan Timur Sabah dan persekitarannya.

 

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 berhubung Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, projek FOB itu masih belum disiapkan walaupun telah hampir 10 tahun sejak ia mula dirancang.

 

Projek tersebut dicadangkan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sejak 2016 dan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (2016–2020) dengan siling peruntukan sebanyak RM52.81 juta. Ia sepatutnya disiapkan pada 16 Nov 2024.

 

 

 

 

 

 

 

FOB Pulau Mabul bertujuan mempertingkatkan keberkesanan kawalan keselamatan melalui pendekatan pengawasan, pemantauan, kawalan kepolisan, dan penguatkuasaan (enforcement) di sepanjang 1,733.3 kilometer pantai dan perairan Timur Sabah yang meliputi keluasan 134,761.54 km.

 

LKAN berpendapat projek itu wajar disiapkan supaya infrastruktur dan kemudahan keselamatan berteknologi tinggi dapat disediakan, sekali gus meningkatkan tahap kawalan keselamatan di kawasan berkaitan.

 

“Antara isu utama dikenal pasti termasuk bangunan masih belum siap, pembinaan jeti belum dimulakan, serta penamatan kontrak terhadap Syarikat 762935-D disebabkan prestasi kerja tidak memuaskan.

 

"Pihak Audit mengambil maklum status Notice of Change (NOC) yang diluluskan pada 9 Mei lalu,” menurut laporan itu.

 

Perincian LKAN juga menyebut, syarikat yang dianugerahkan tender itu pada Ogos 2020 telah mengemukakan surat penarikan diri pada 1 Ogos 2023. Beberapa alasan dikemukakan, antaranya peningkatan kos pembinaan akibat pandemik COVID-19, ketidaksesuaian lokasi asal landing point, kelewatan proses kelulusan Temporary Occupation License (TOL), serta kelewatan pelantikan subkontraktor yang dinamakan bagi kerja-kerja elektrikal dan mekanikal.

 

Jabatan Kerja Raya (JKR) kemudian mengeluarkan Notis Penamatan Kontrak pada 6 Sept 2023, dengan status kemajuan projek ketika itu hanya 41 peratus berbanding jadual kerja sebanyak 53 peratus.

 

Namun, LKAN menyatakan bahawa syarikat berkenaan tidak mempunyai asas kukuh untuk menarik diri dan alasan penarikan diri tersebut adalah tidak selaras dengan syarat-syarat Kontrak JKR 203A.

 

Kegagalan menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan menyebabkan peningkatan kos sebanyak RM28.70 juta, menjadikan jumlah keseluruhan kos kepada RM81.51 juta, serta menyebabkan penangguhan kepada Projek Pembangunan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Sabah Fasa 2.

 

 

 

 

 

 

 

“Selain itu, proses pengukuran dan pewartaan tanah laut juga didapati mengambil masa terlalu lama, iaitu selama tujuh tahun, lima bulan dan 17 hari (2,725 hari) bermula dari tarikh permohonan tanah kerajaan di bawah Seksyen 12, Ordinan Tanah Sabah Bab 68 pada 5 Jan 2016 hingga tarikh pewartaan siap pada 22 Jun 2023.

 

"Perkara ini disebabkan oleh kelemahan koordinasi antara JTU Sabah dan ESSCOM, khususnya apabila Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah lewat memaklumkan mengenai kekurangan pasukan ukur bagi melaksanakan kerja pengukuran,” menurut laporan itu. — BERNAMA