KUALA LUMPUR 4 Dis – Kumpulan Ehsan Bina menamatkan pembinaan struktur (topping out) bagi projek Residensi ForestHill di Damansara Perdana, Petaling Jaya.
Projek seluas 4.39 ekar itu bernilai RM490 juta dan merupakan pembangunan terbesar syarikat dari segi nilai pembangunan kasar (GDV).
Pembinaannya terdiri daripada dua menara kediaman iaitu Menara A setinggi 38 tingkat dan Menara B setinggi 35 tingkat yang menawarkan 618 unit kediaman.
Saiz unit adalah antara 953 hingga 1,527 kaki persegi dengan harga jualan bermula daripada RM650 sekaki persegi.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Ehsan Bina, Jamie Lai berkata, pihaknya mempunyai kawalan penuh terhadap kualiti, kos, dan garis masa projek bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual.
“Pendekatan bersepadu ini membolehkan kami kekal mengikut jadual walaupun berdepan cabaran pasaran kebelakangan ini.
“Majlis khas “roof topping” ini adalah hasil kerjasama rapat antara pasukan reka bentuk, pengurusan projek dan pembinaan syarikat.
“Kami kini memasuki peringkat akhir pembinaan, dengan fokus untuk menyiapkan projek mengikut jadual dan menyambut para pembeli ke kediaman baharu mereka,” katanya.
Pembangunan projek itu dibuat di atas tanah yang telah dipulihkan semula, yang sebelum ini merupakan kawasan terbiar akibat aktiviti kuari.
Lokasinya di tepi tasik memberikan suasana semula jadi namun dilengkapi kemudahan moden yang menjadi tarikan pembeli untuk menikmati gaya hidup moden dan praktikal.
Setakat ini, sebanyak 85 peratus unit di Residensi ForestHill sudah terjual. Projek disasarkan siap sepenuhnya menjelang suku pertama 2027. - DagangNews.com








