KUALA LUMPUR 28 Okt - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terus mencatat kemajuan memberangsangkan apabila mencapai 87 peratus siap setakat Ogos lalu, mendorong RHB Investment Bank mengekalkan saranan OVERWEIGHT terhadap sektor pembinaan negara.
Dalam nota penyelidikannya, RHB menyatakan sentimen terhadap sektor berkenaan kekal positif berikutan projek mega infrastruktur itu – sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang – berada di landasan untuk disiapkan menjelang akhir 2026 bagi Fasa 1 (Kota Bharu ke Gombak).
Bank pelaburan itu berkata, tinjauan di lapangan antara Kuantan dan Gombak mendapati kerja-kerja pembinaan jambatan rel serta stesen utama seperti di Bentong, Temerloh dan Gombak menunjukkan kemajuan ketara.
Jambatan ECRL 28 yang dibina oleh China Communications Construction Co Ltd, misalnya, berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan – menggambarkan tahap kecekapan tinggi pelaksanaan projek tersebut.
Dengan kos keseluruhan yang disemak semula sebanyak RM50.3 bilion (Disember 2022), ECRL melibatkan pembinaan 20 stesen, jajaran Serendah Bypass bagi memperlancar pergerakan kargo dari utara, serta sambungan dari stesen Jalan Kastam ke terminal Westports dan Northport di Pelabuhan Klang.

Setakat 1 Julai lalu, Malaysia Rail Link memaklumkan nilai kontrak yang telah dianugerahkan kepada syarikat tempatan mencapai RM18.6 bilion, melepasi sasaran asal RM10.8 bilion.
Antara syarikat utama yang mendapat manfaat termasuk IJM Corp, Advancecon, HSS Engineers dan Tanco Holdings.

RHB turut menjelaskan, perkembangan seterusnya yang dijangka diberi perhatian ialah pembinaan jajaran Seksyen D, iaitu laluan 25 kilometer yang menghubungkan stesen Jalan Kastam ke Pelabuhan Klang.
Sekurang-kurangnya lima syarikat – termasuk WCT Holdings–MMC Corporation JV, Dhaya Maju Infrastructure (Asia), DOM Industries, dan SIPP Rail–YTL Construction JV – telah mengemukakan bidaan bernilai antara RM600 juta hingga RM900 juta. Kerja-kerja fizikal dijangka bermula hujung 2025 dan siap menjelang Disember 2027.
Menurut RHB, satu lagi pemangkin potensi bagi projek ini ialah cadangan melanjutkan jajaran ECRL hingga ke Rantau Panjang, Kelantan bersempadan Thailand yang kini di peringkat perbincangan awal dan dijangka menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan hab logistik dan taman perindustrian baharu di sepanjang laluan ECRL.
“Kami melihat IJM sebagai antara pesaing kukuh dalam segmen pembinaan bangunan industri, berdasarkan pengalamannya dalam pembinaan gudang, pusat data dan kemudahan pembuatan semikonduktor,” katanya.
RHB mengekalkan tiga saham pilihan utama sektor berkenaan iaitu Gamuda, Sunway Construction dan Binastra, dengan kesemua 11 saham diliputi diberi penarafan “Beli”.
Bagaimanapun, bank itu mengingatkan risiko utama projek termasuk kemungkinan berlakunya kelewatan yang tidak dijangka terhadap keseluruhan tempoh siap yang disasarkan pada Januari 2028. - DagangNews.com








