Projek di Arab Saudi tidak jejaskan prestasi MGB berikutan sebahagian besar pendapatannya disokong operasi domestik - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek di Arab Saudi tidak jejaskan prestasi MGB berikutan sebahagian besar pendapatannya disokong operasi domestik - RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – MGB Berhad dijangka kekal stabil walaupun mempunyai projek pembinaan di Arab Saudi kerana sebahagian besar pendapatan MGB masih datang daripada projek domestik di Malaysia,” kata RHB Research.

 

Terbaharu, MGB memperolehi kontrak bernilai RM200.7 juta daripada Lien Dak Builders bagi pembangunan pusat asrama pekerja di Pulau Pinang bagi pihak syarikat Urban Pinnacle. Kontrak ini dijangka siap dalam tempoh 24 bulan, dengan tarikh mula kerja masih belum ditentukan.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia adalah projek pertama MGB untuk FY26 serta projek pertama mereka di Pulau Pinang, menunjukkan syarikat tersebut semakin berkembang ke lokasi baharu selain Kuala Lumpur dan Johor.

 

“Sebelum ini, MGB telah memperoleh beberapa projek penting termasuk projek perumahan mampu milik UDA Holdings bernilai RM118.5 juta di Kuala Lumpur pada Oktober 2025 dan menara apartmen servis bernilai RM186 juta untuk CI Medini di Iskandar Puteri, Johor pada Ogos 2025.

 

“Jumlah buku tempahan domestik MGB dianggarkan sekitar RM1.2 bilion selepas mengambil kira projek terkini. Dari jumlah itu, 30–37.5 peratus berasal daripada pihak ketiga manakala selebihnya dari projek dalaman syarikat induk, LBS Bina.

 

“MGB turut mempunyai baki projek bernilai RM444 juta di Medina, Arab Saudi, dengan pegangan efektif 50 peratus sekitar RM222 juta. Walaupun projek ini terletak di kawasan konflik, kami berpandangan kesan terhadap pendapatan keseluruhan adalah minima kerana projek domestik menyumbang sebahagian besar pendapatan,” kata RHB Research dalam nota kajiannya hari ini.

 

Firma itu juga telah menurunkan sasaran P/E MGB daripada 12x kepada 11x untuk mengambil kira risiko Timur Tengah, tetapi ini tidak menjejaskan ramalan pendapatan FY26 yang dijangka tetap kukuh.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MGB dapat kontrak RM200 juta bina asrama pekerja di Bukit Minyak

 

RHB Research berkata pendapatan FY26 MGB diunjurkan meningkat kepada RM1.372 bilion berbanding RM917 juta pada FY25, manakala keuntungan bersih berulang dijangka meningkat kepada RM55 juta daripada RM48 juta. Dividen FY26 dijangka sekitar 0.03 sen sesaham dengan hasil sekitar tujuh peratus.

 

“Selain projek di Arab Saudi, MGB mempunyai pelbagai projek pembangunan hartanah dan pembinaan di Malaysia, termasuk Idaman Cahaya Fasa 2, Idaman Sari, dan Saujana Indah Fasa 1 dan 2. Jumlah jualan belum ditagih daripada projek-projek ini dianggarkan sekitar RM423 juta.

 

“LBS Bina pula merancang melancarkan projek baharu bernilai RM2.3 bilion pada FY26 berbanding RM1.1 bilion pada FY25, yang dijangka memberi manfaat kepada MGB melalui kontrak dalaman. Projek-projek baru ini termasuk projek perumahan mampu milik di Lembah Klang dengan GDV melebihi RM1 bilion,” katanya.

 

MGB menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang membantu mempercepatkan kerja pembinaan, menjimatkan bahan, mengurangkan bunyi dan sisa, serta meningkatkan tahap keselamatan pekerja. Setakat ini, kira-kira 67 peratus projek MGB telah menggunakan sistem IBS.

 

Dalam laporan ESG terkini, MGB mengekalkan skor keseluruhan 3.0 daripada 4.0, dengan skor baik dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Ini termasuk tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan di tapak projek atau pejabat syarikat.

 

RHB Research berkata MGB masih mempunyai prospek kukuh dengan pemangkin utama termasuk pembangunan lebih pantas Kertih Terengganu Industrial Park dan peluang mendapatkan lebih banyak kontrak pembinaan di luar Lembah Klang. Risiko utama termasuk pasaran hartanah domestik yang perlahan dan potensi gangguan akibat konflik di Timur Tengah.

 

RHB Research mengekalkan saranan Beli untuk MGB dengan sasaran harga RM0.60 sesaham, memberi potensi kenaikan 43 peratus dari harga semasa dan dividen menarik sekitar tujuh peratus bagi FY26. - DagangNews.com