KUALA LUMPUR 25 Feb — Langkah penstrukturan semula Boustead Holdings Bhd, dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di bawah satu pelan komprehensif khusus yang dikenali sebagai Projek Bumi bermatlamat untuk menambahbaikkan kecekapan operasi syarikat.
Ia dimaklumkan dalam jawapan bertulis Parlimen oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai menjelaskan soalan dikemukakan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai nasib dialami dua syarikat milik kerajaan itu.
"Projek Bumi direka untuk menggariskan had operasi antara LTAT, Boustead dan anak syarikat mereka dengan tujuan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti serta memastikan anak syarikat berdaya saing dalam industri masing-masing," katanya.
Ujar beliau, pada asalnya pihak LTAT sendiri telah berusaha menambah baik pelan penstrukturan semula sebelum ini yang dikenali sebagai Projek Moonshot namun langkah transformasi itu melalui rancangan penstrukturan semula telah dihentikan pada 2023.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, projek tersebut mulanya diletakkan di bawah Pelan Strategik LTAT 2023-2025 sebelum kemudian dimansuhkan oleh pihak Kementerian Pertahanan setelah pelantikan beliau sebagai menteri berkenaan pada Disember 2023.
"Kerajaan selepas itu telah merancang untuk menstruktur semula pegangan LTAT dalam Kumpulan Boustead dan 'Projek Bumi' diluluskan oleh ahli lembaga pengarah LTAT pada 9 Ogos 2024 sebelum dimaklumkan kepada Kabinet pada 13 Disember 2024," jelas beliau.
Pelan baharu tersebut tegasnya, dijangka mampu memberikan ruang kepada pihak LTAT sendiri untuk bergerak melaksanakan segala langkah penstrukturan semula yang lebih menyeluruh dan secara inklusif berbanding pendekatan lama dalam Projek Moonshot.
Di bawah pelan sebelum ini kata beliau, pendedahan pelaburan LTAT dirancang berubah daripada hanya terdapat Boustead Holdings kepada enam buah lagi syarikat strategik, dengan pegangan saham baharu yang pelaksanaannya ditetapkan untuk tempoh 2023-2025.
Langkah dicadangkan tersebut ketika itu adalah untuk memastikan segala hutang syarikat berkenaan dapat diselesaikan dan LTAT pula mampu menerima pendedahan langsung kepada semua aset yang berkaitan, dengan dividen dibayar terus kepada LTAT.
Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah mengkritik kementerian itu kerana menghalang usaha transformasi LTAT dengan menghentikan rancangan penstrukturan semula pada 2023 apabila Mohamed Khaled dilantik sebagai Menteri Pertahanan.
Dalam satu kenyataan, susulan laporan Parlimennya, pihak PAC mendedahkan bahawa keputusan Kementerian Pertahanan menghentikan penstrukturan semula Boustead Holdings menghalang transformasi yang diperlukan LTAT. - DagangNews.com








