KUALA LUMPUR 5 Mei - Malaysia mengumumkan langkah baharu bagi mengurangkan tekanan kos susulan gangguan rantaian bekalan global yang terus memberi kesan kepada harga domestik dan perniagaan.
Kerajaan akan memperluas program jualan barangan diskaun di seluruh negara, menyediakan sokongan kewangan kepada pesawah padi serta menggesa pengurangan kadar sewa bagi perniagaan kecil yang beroperasi di premis berkaitan kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Program Jualan Rahmah MADANI — inisiatif jualan bersubsidi yang menawarkan barangan keperluan pada harga di bawah pasaran — akan ditingkatkan kepada 30,000 penganjuran pada 2026, berbanding lebih 25,000 yang diadakan tahun lalu.
Program itu kini akan dilaksanakan setiap minggu di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jadual tetap bagi meningkatkan aksesibiliti, selain diperluaskan ke kawasan luar bandar terpilih selain lokasi bandar.
Anwar berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan kos barangan keperluan sehingga 30% dengan memberi tumpuan kepada peniaga kecil.
“Kita tidak mahu ia menjadi platform kepada syarikat besar, sebaliknya peluang kepada peniaga kecil menjual barangan pada harga lebih rendah,” katanya.

Sektor pertanian
Kerajaan turut menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak RM200 kepada pesawah padi bagi menyokong aktiviti penanaman susulan peningkatan kos jentera dan input pertanian. Inisiatif dengan kos fiskal awal RM48 juta itu dijangka memanfaatkan kira-kira 240,000 pesawah berdaftar.
Langkah itu menyusuli peningkatan insentif sektor pertanian sebelum ini, termasuk subsidi membajak yang lebih tinggi, ketika negara berdepan gangguan cuaca seperti musim kering berpanjangan di kawasan utama penanaman.
Anwar turut mengarahkan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings mengurangkan kadar sewa di premis masing-masing.
Beliau juga menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan melaksanakan pengurangan serupa bermula bulan ini bagi meringankan beban kewangan peniaga kecil dan penjaja.

Langkah terbaharu ini dilaksanakan ketika ketegangan geopolitik berterusan di Timur Tengah mengganggu rantaian bekalan global. Kini memasuki bulan ketiga tanpa tanda reda, konflik tersebut telah meningkatkan harga pelbagai komoditi termasuk minyak dan baja.
Tekanan struktur yang lebih meluas kekal wujud meskipun kerajaan terus menanggung subsidi bahan api yang dianggarkan menelan tambahan RM5 bilion sebulan, kata Anwar.
Beliau berkata, kerajaan akan terus menilai keadaan semasa dan merangka langkah lanjut melalui perbincangan dasar secara berkala.
“Langkah ini mungkin tidak menyelesaikan sepenuhnya cabaran, tetapi bertujuan mengurangkan beban segera ke atas isi rumah dan perniagaan kecil,” tambahnya. - DagangNews.com








