KUALA LUMPUR 3 Okt - Profesor Ir Dr Mohd Sapuan Salit, 60, pakar kejuruteraan bahan komposit telah menerima Anugerah TWAS dalam Sains Kejuruteraan 2024 daripada The World Academy of Sciences (TWAS), UNESCO.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Presiden TWAS, Profesor Quarraisha Abdool Karim pada 2 Oktober sempena Persidangan Agung ke-17 TWAS yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil.
Dalam satu pengiktirafan berganda, Profesor Mohd Sapuan turut dilantik sebagai Felo TWAS, sekali gus menyertai kelompok elit saintis dunia yang diiktiraf atas sumbangan cemerlang terhadap pembangunan sains di negara-negara membangun. Sijil pelantikan turut disampaikan pada majlis sama.


Profesor Sapuan merupakan bekas Profesor Bahan Komposit di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau dikenali sebagai antara pakar utama Malaysia dalam bidang bahan komposit, reka bentuk kejuruteraan dan penyelidikan bahan lestari.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari University of Newcastle, Australia, diikuti Ijazah Sarjana Sains Reka Bentuk Kejuruteraan dari Loughborough University, United Kingdom, serta Ijazah Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Bahan dari De Montfort University, United Kingdom.
Selain akademik, Profesor Sapuan merupakan seorang Jurutera Profesional dan Felo kepada pelbagai badan berprestij termasuk Persatuan Jurutera Automotif Antarabangsa, Akademi Sains Malaysia, Akademi Antarabangsa Sains Bionik, Perikatan Industri Kecerdasan Buatan Antarabangsa, Persatuan Antarabangsa bagi Pembangunan dan Kelestarian, Institut Plastik & Getah Malaysia, Persatuan Saintifik Malaysia dan Institut Bahan Malaysia.
Beliau turut merupakan Ahli Kehormat Asian Polymer Association, selain Pengasas dan Pengerusi Kehormat Persatuan Pembangunan & Industri Kelapa Sawit Gula (Sugar Palm Development & Industry Society), Malaysia.
Pengiktirafan terbaharu ini menambah kepada senarai panjang anugerah antarabangsa yang pernah diraih beliau, termasuk Pingat Emas Antarabangsa William Johnson atas sumbangan besar dalam penyelidikan bahan komposit.
Anugerah TWAS bertujuan mengiktiraf saintis dari negara membangun yang telah memberi sumbangan luar biasa kepada kemajuan sains dan teknologi.
Pengiktirafan terhadap Profesor Sapuan sekali lagi mengangkat nama Malaysia di persada global, memperkukuh reputasi negara dalam bidang inovasi saintifik dan mempamerkan peranan penting Malaysia dalam memajukan sains kejuruteraan di peringkat antarabangsa. - DagangNews.com








