PRN: GRS kuasai semula Sabah, Hajiji angkat sumpah Ketua Menteri bagi penggal kedua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PRN: GRS kuasai semula Sabah, Hajiji angkat sumpah Ketua Menteri bagi penggal kedua

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 30 Nov – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kembali menguasai pentadbiran Sabah selepas berjaya  memenangi 29 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Sabah ke-17, semalam.

 

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah untuk penggal kedua.

 

Hajiji, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu.

 

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata Parti Warisan berada rapat di belakang GRS dengan 25 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan enam kerusi.

 

Calon Bebas memperoleh lima kerusi, United Progressive Kinabalu Organisation (Upko) menang tiga kerusi, Star Sabah mendapat dua kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing memenangi satu kerusi.

 

Sebanyak 1,148,476 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab, mewakili 64.35 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar.

 

“Angka tersebut merangkumi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos," kata Ramlan.

 

Sementara itu Hajiji ketika ditemui semasa kenderaan beliau meninggalkan perkarangan istana, berkata: 

 

“Syukur Alhamdulillah. Saya berterima kasih kepada Allah. Saya telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri. Terima kasih.

 

“Kita akan berjumpa nanti pada waktu pagi,” katanya.

 

Dalam PRN ke-17, Hajiji mengekalkan kerusi Sulaman selepas memperoleh 10,639 undi, menewaskan empat lagi pencabar. - DagangNews.com