PRG lantik pemeriksa bebas teliti penyelesaian hutang pihak berkaitan yang dibatalkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PRG lantik pemeriksa bebas teliti penyelesaian hutang pihak berkaitan yang dibatalkan

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 19 Jun - PRG Holdings Bhd sedang dalam proses melantik pemeriksa bebas bagi meneliti penyelesaian hutang yang kini telah dibatalkan melibatkan transaksi pihak berkaitan (RPT) antara unit pembinaannya dan Premier De Muara Sdn Bhd (PDM).

 

Langkah itu diambil susulan kenyataan pemegang saham kedua terbesar PRG, Datuk Sheah Kok Fah pada 9 Jun lalu yang menggesa semakan bebas terhadap transaksi berkenaan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat yang dijadual berlangsung pada 25 Jun ini.

 

Sheah sebelum ini mendakwa PDM pada hakikatnya dikawal oleh pemegang saham terbesar PRG, Datuk Ng Yan Cheng.

 

PDM berhutang sebanyak RM37.17 juta kepada unit pembinaan PRG, PCI, bagi kerja-kerja yang telah disiapkan untuk projek Picasso Residence di Kuala Lumpur.

 

Di bawah cadangan penyelesaian tersebut, PDM akan memindahkan 12 unit kediaman bernilai RM13.37 juta sebagai bayaran sebahagian daripada hutang itu, manakala baki selebihnya akan dirundingkan secara berasingan.

 

Bagaimanapun, PRG kemudiannya membatalkan perjanjian itu pada 19 Mei lalu dengan alasan isu transaksi pihak berkaitan serta kegagalan PDM mendedahkan kewujudan penghakiman mahkamah yang menjejaskan keupayaannya memenuhi obligasi.

 

Lembaga pengarah adakan mesyuarat khas

Dalam satu kenyataan pada Khamis bagi menjawab laporan media, lembaga pengarah PRG berkata ahlinya, termasuk menantu Ng yang juga pengarah urusan syarikat, Andrew Chan Lim-Fai, tidak mengetahui perkembangan berkaitan pemilikan PDM ketika cadangan penyelesaian hutang itu dikemukakan.

 

Namun, selepas beberapa bahan berkaitan disalurkan secara tidak rasmi oleh seorang pemegang saham kepada beberapa pengarah bukan eksekutif serta juruaudit dalaman dan luaran, syarikat telah mengadakan beberapa mesyuarat khas lembaga pengarah.

 

Menurut PRG, syarikat turut melaksanakan proses pengesahan sendiri dan mendapatkan nasihat undang-undang bebas bagi menilai isu yang dibangkitkan serta menentukan tindakan yang sewajarnya.

 

PRG berkata, sebaik sahaja transaksi pihak berkaitan itu dikenal pasti, Chan telah menarik diri daripada semua perbincangan dan pengundian berkaitan urus niaga tersebut.

 

Beliau hanya terlibat untuk memberikan maklumat fakta kepada lembaga pengarah apabila diperlukan.

 

Syarikat itu berkata, faktor-faktor tersebut akhirnya membawa kepada keputusan untuk membatalkan perjanjian penyelesaian berkenaan serta membuat pendedahan yang diperlukan kepada Bursa Malaysia pada 19 Mei lalu.

 

Tuntut RM64.24 juta daripada PDM

PRG turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengeluarkan tuntutan statutori kepada PDM pada 8 Jun lalu, yang menghendaki syarikat itu menjelaskan bayaran tertunggak berjumlah RM64.24 juta kepada PCI dalam tempoh 21 hari.

 

Bagaimanapun, pecahan terperinci berhubung jumlah tunggakan tersebut tidak didedahkan.

 

Syarikat itu berkata, ia sedang berurusan dengan Bursa Malaysia bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan penyenaraian.

 

Pada masa sama, PRG memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan semula jumlah yang terhutang serta melindungi kepentingan para pemegang saham menjelang AGM syarikat itu.

 

Saham PRG ditutup meningkat setengah sen atau 5.6% kepada 9.5 sen pada Khamis, sekali gus memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM46.6 juta. - DagangNews.com