KUALA LUMPUR 11 Julai - Prestasi Westports diunjur terus kukuh susulan kenaikan tarif dan pemindahan perkhidmatan, kata CGS International.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan “Add” terhadap saham Westports Holdings Bhd dan menaikkan harga sasaran kepada RM6.41 susulan pendapatan penyimpanan kontena yang lebih baik daripada jangkaan serta prospek pendapatan yang semakin jelas.
Firma itu turut menurunkan kos ekuiti Westports daripada 9.4 peratus kepada 8.2 peratus mencerminkan keyakinan pasaran selepas kerajaan mewartakan tarif pelabuhan baharu dan komited terhadap kenaikan tahunan.
"Penggunaan kawasan simpanan kontena melonjak lebih 90 peratus dalam separuh pertama 2025 berikutan tindakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia membanteras import sisa haram yang menyebabkan lambakan kontena tersadai.
"Keadaan ini membantu meningkatkan purata pendapatan setiap unit kontena (ARPT) sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun dalam suku pertama dengan CGS menjangka momentum ini berterusan dalam suku kedua.
"Jumlah pengendalian kontena turut disokong oleh pelancaran pakatan perkapalan Gemini Cooperation, pemindahan perkhidmatan Evergreen dari Pelabuhan Tanjung Pelepas serta penyusunan semula oleh Hapag-Lloyd," kata CGSI dalam nota kajiannya.
Firma itu turut menjangkakan hasil Westports mendapat tambahan daripada kenaikan tarif 15 peratus berkuat kuasa 15 Julai namun risiko masih wujud termasuk potensi kemelesetan global dan pengembalian tarif hukuman oleh Amerika Syarikat selepas tempoh penggantungan tamat pada 8 Julai.
"Kami percaya Westports akan mencatat keputusan 3Q25 yang kukuh susulan kenaikan tarif tersebut dan struktur caj pelabuhan yang menguntungkan dalam jangka panjang," katanya. - DagangNews.com








