Prestasi WCT diunjur lebih kukuh dipacu buku tempahan pembinaan RM2.5 bilion, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi WCT diunjur lebih kukuh dipacu buku tempahan pembinaan RM2.5 bilion, kata PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mei — WCT Holdings Berhad diunjur mencatatkan keputusan suku tahun lebih baik, dipacu buku tempahan pembinaan kukuh bernilai RM2.5 bilion, kata Public Investment Bank Berhad (PublicInvest).


Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut meraih RM300 juta dalam jualan hartanah dari setahun lalu sehingga ini, dan berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran tahun kewangan 2025 sebanyak RM1.1 bilion.


Tambahnya, pertumbuhan hasil WCT sebahagian besarnya bergantung pada pelaksanaan projek, pemulihan kos daripada pelbagai projek yang telah siap dan keupayaannya untuk menambah lagi buku tempahan pembinaan baharu.


"Asas syarikat ini masih kekal kukuh, walaupun keuntungan bersih teras merosot sebanyak 47.3 peratus tahun ke tahun kepada RM12 juta pada suku pertama bagi tahun kewangan 2025 (1QFY25)," katanya dalam nota kajian.


PublicInvest menambah, sebahagian besar penyusutan tersebut disebabkan oleh aktiviti yang didapati lebih perlahan dalam bahagian kejuruteraan dan pembinaan (E&C) ketika projek dikendalikannya itu telah hampir siap.


Hasil WCT bagi tempoh suku tersebut meningkat sedikit sebanyak 1.0 peratus kepada RM472.1 juta, didorong oleh pertumbuhan secara ketara dalam segmen pembangunan hartanah serta pelaburan dan pengurusan hartanah.


Keputusan itu kata firma penyelidikan tersebut berada di bawah anggarannya sendiri tetapi masih dalam jangkaan pasaran, yang masing-masing mewakili 12.9 peratus dan 19.6 peratus daripada ramalan setahun penuhnya.


"Kami mengekalkan anggaran hasil tidak berubah, namun menjangkakan perbelanjaan faedah lebih rendah selepas penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) akan datang, yang dijangka siap menjelang Jun," kata PublicInvest.


Ia tambahnya, berdasarkan kepada asas syarikat tersebut yang menunjukkan peningkatan, disokong oleh inisiatif nyah penggearan, pelaksanaan projek dan jangkaan penambahan buku tempahan pembinaan.


Firma berkenaan turut mengekalkan saranan "outperform" ke atas WCT dengan harga sasaran yang tidak berubah kepada sebanyak RM1.08 sesaham, berdasarkan 0.4 kali penilaian harga ke buku. - DagangNews.com