Prestasi Teo Seng kekal berdaya tahan disokong permintaan stabil walaupun tanpa sokongan subsidi telur - Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi Teo Seng kekal berdaya tahan disokong permintaan stabil walaupun tanpa sokongan subsidi telur - Mercury Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 April – Keuntungan Teo Seng Capital Berhad dijangka kembali ke tahap lebih stabil selepas berakhirnya sokongan subsidi telur kerajaan yang sebelum ini menyumbang kepada peningkatan ketara pendapatan kumpulan, menurut Mercury Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tanpa sokongan tersebut, prestasi kewangan syarikat kini mencerminkan kekuatan operasi teras perniagaan yang kekal berasaskan permintaan stabil terhadap telur di pasaran.

 

Mercury Securities berkata keuntungan syarikat akan kembali kepada tahap normal selepas tempoh “super cycle” subsidi antara FY2023 hingga FY2025 yang sebelum ini meningkatkan keuntungan bersih secara ketara.

 

“Sepanjang tempoh tersebut, subsidi telur kerajaan dianggarkan melebihi RM90 juta, memberi kesan besar terhadap prestasi kewangan kumpulan berkenaan.

 

“Tanpa sumbangan subsidi, pengurusan menjangkakan pendapatan operasi kembali kepada asas sekitar RM5 juta hingga RM6 juta, mencerminkan keadaan sebenar operasi teras perniagaan.

 

“Walaupun berlaku penyusutan keuntungan, permintaan asas terhadap telur kekal stabil, disokong oleh penggunaan domestik dan pasaran serantau,” kata Mercury Securities dalam nota kajiannya hari ini.

 

Dari sudut prestasi kewangan, anggaran menunjukkan keuntungan bersih kumpulan boleh susut sekitar 60 peratus pada FY2026 kepada kira-kira RM56 juta berbanding sekitar RM142 juta pada tahun sebelumnya.

 

Margin keuntungan turut dijangka lebih sederhana dengan EBITDA margin berkurang kepada sekitar 14 peratus berbanding lebih 30 peratus semasa tempoh subsidi.

 

Selain itu, syarikat turut merekodkan keuntungan sesaham (EPS) lebih rendah sekitar 9.5 sen bagi FY2026 berbanding 24 sen pada FY2025, mencerminkan peralihan ke persekitaran operasi yang lebih normal.

 

Dari segi pulangan kepada pemegang saham, syarikat dijangka tidak memberikan dividen dalam tempoh terdekat berikutan penyesuaian pendapatan selepas subsidi.

 

Namun begitu, kedudukan kewangan Teo Seng kekal kukuh dengan paras tunai yang meningkat serta struktur hutang yang rendah, sekali gus memberi sokongan kepada kestabilan operasi.

 

Dalam masa sama, syarikat telah mengambil langkah perlindungan kos melalui kontrak hadapan bagi bahan mentah utama seperti jagung dan kacang soya yang mengurangkan risiko turun naik harga sehingga separuh pertama tahun kewangan 2026.

 

Mercury Securities berkata strategi tersebut melindungi sekitar 60 hingga 75 peratus struktur kos kumpulan, sekali gus memberi kelebihan berbanding pesaing yang lebih terdedah kepada harga pasaran semasa.

 

“Bagaimanapun, perlindungan kos tersebut dijangka hanya bersifat sementara memandangkan liputan kontrak hadapan hanya meliputi tempoh sekitar enam bulan.

 

“Dari perspektif penilaian, saham Teo Seng kini didagangkan pada tahap diskaun ketara berbanding purata industri. Oleh itu, kami mengekalkan saranan “Beli” dengan harga sasaran RM1.14, disokong oleh prospek pendapatan yang stabil serta penilaian yang masih menarik pada paras semasa,” katanya.

 

Selain itu, syarikat turut merancang pengembangan segmen hiliran melalui pelancaran produk nilai tambah seperti ‘egg mayo’ pada suku keempat FY2026, sebagai usaha meningkatkan margin jangka panjang.

 

Walaupun wujud risiko seperti penyakit ternakan, turun naik harga makanan ayam serta ketidaktentuan mata wang, prospek jangka panjang syarikat kekal disokong oleh permintaan asas makanan protein yang stabil.- DagangNews.com