Prestasi sektor pembuatan meningkat 7.1% pada Januari 2026 dengan nilai jualan RM169.4 bilion - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi sektor pembuatan meningkat 7.1% pada Januari 2026 dengan nilai jualan RM169.4 bilion - DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac – Prestasi sektor pembuatan bagi Januari 2026 mencatatkan peningkatan memberangsangkan dengan nilai jualan  meningkat sebanyak 7.1% berbanding Januari 2025, dengan jumlah keseluruhan RM169.4 bilion.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata pertumbuhan ini sedikit lebih tinggi berbanding Disember 2025 yang mencatatkan kenaikan 6.4%. 

 

“Secara bulanan, nilai jualan juga naik 0.5% daripada RM168.6 bilion yang direkodkan pada Disember 2025.

 

“Subsektor yang menyumbang pertumbuhan paling ketara adalah peralatan elektrik dan elektronik dengan peningkatan 15.6% pada Januari 2026 berbanding 12.6% pada Disember 2025. 

 

“Subsektor makanan, minuman dan tembakau pula meningkat 12.4%, manakala produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam naik 5.7%,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Industri berorientasikan eksport, yang mewakili 70.2% daripada jumlah jualan, meningkat 7.2% berbanding tahun lepas. 

 

Kenaikan ini disokong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang melonjak 17.9%, serta pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan meningkat 13.0%. Pembuatan jentera dan peralatan pula tumbuh 7.7%.

 

Dari segi bulanan, DOSM berkata industri berorientasikan eksport meningkat 0.2%, manakala industri berorientasikan domestik berkembang 6.9% berbanding 5.6% pada bulan sebelumnya. 

 

“Pertumbuhan domestik dipacu oleh pembuatan produk pemprosesan makanan naik 11.6% dan pembuatan logam asas serta produk logam meningkat 5.9%.

 

“Jumlah pekerja dalam sektor pembuatan meningkat kepada 2.4 juta orang pada Januari 2026, naik 1.3% berbanding Januari 2025. Dari aspek perbandingan bulanan, bilangan pekerja meningkat 0.1%,” katanya.

 

Pertambahan pekerja paling tinggi dicatatkan dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (+2.0%), peralatan elektrik dan elektronik (+1.8%), serta produk mineral dan logam (+1.3%).

 

Gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan berjumlah RM8.71 bilion, meningkat 2.8%.

 

Bagaimanapun, jumlah ini menyusut 4.4% berbanding bulan sebelumnya yang mencatat RM9.11 bilion. Nilai jualan setiap pekerja pula meningkat kepada RM69,779 (+5.7%), manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,590, naik 1.4%. - DagangNews.com