KUALA LUMPUR 28 Nov – Ranhill Utilities Berhad mencatatkan keuntungan teras sebanyak RM29.9 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) melebihi jangkaan pasaran berikutan margin kasar yang lebih kukuh serta peningkatan hasil daripada segmen air selepas kenaikan tarif, kata penganalisis.
Pendapatan segmen air meningkat 19% kepada RM414.4 juta, manakala segmen perundingan dan perkhidmatan mencatatkan penurunan 39% kepada RM112.7 juta disebabkan kemungkinan berkurangnya tempahan daripada anak syarikat.
Segmen kuasa pula merekodkan penurunan 32% kepada RM61.9 juta disebabkan kos penyelenggaraan dan kewangan aset kuasa.
Oleh itu, RHB Research mengekalkan saranan Beli ke atas Ranhill Utilities dengan harga sasaran baharu RM2.60, menyokong unjuran pertumbuhan keuntungan jangka panjang berikutan permintaan air yang dipacu oleh pembangunan pusat data di Johor, selain pelaksanaan kenaikan tarif air.
Firma penyelidikan itu berkata, hasil Ranhill Utilities melebihi jangkaan dan pihaknya menaikkan ramalan keuntungan FY26–FY28 sebanyak 95%, 90%, dan 95% kerana margin kasar lebih baik dan jangkaan penggunaan air lebih tinggi di Johor bagi sektor perumahan, industri biasa dan pusat data.
“Harga sasaran baharu adalah MYR2.60, termasuk premium ESG 4% kerana skor ESG RAHH 3.2.
“Saham diniagakan pada 4.5x EV/EBITDA FY26F, lebih rendah daripada purata 10 tahun sektor air (~6.3x),” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Sementara itu, MBSB Research mengekalkan penarafan neutral ke atas Ranhill Utilities dengan sasaran harga baharu RM1.91, naik daripada RM1.50 sebelum ini.
Firma itu berkata, penarafan ini disebabkan oleh peningkatan unjuran pendapatan selepas prestasi lebih baik daripada Ranhill SAJ, terutamanya hasil daripada semakan tarif air yang berkuat kuasa mulai Ogos 2025 yang telah digazetkan oleh Kabinet.
“Ranhill SAJ dijangka terus menyumbang secara signifikan kepada keuntungan kumpulan, sejajar dengan pertumbuhan pusat data di Johor serta prospek ekonomi daripada Zon Ekonomi Johor-Singapura dan Zon Kewangan Khas.
“Prestasi kewangan 1QFY26 menunjukkan Ranhill mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM30.2 juta, melebihi jangkaan MBSB Research sebanyak 41.8% daripada unjuran tahunan penuh. Keuntungan ini didorong terutamanya oleh prestasi lebih kukuh Ranhill SAJ walaupun jumlah pendapatan menurun sebanyak 6.2% kepada RM589 juta.
“Segmen air mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 48.7% kepada RM43.5 juta dengan margin meningkat kepada 10.5% berbanding 8.4% setahun sebelumnya,” kata MBSB Research.
Sehubungan itu, MBSB Research telah menaikkan unjuran keuntungan Ranhill untuk FY26E dan FY27F masing-masing sebanyak 34.2% dan 56.8% kepada RM97 juta dan RM125.6 juta.
Kenaikan ini berikutan prestasi lebih baik Ranhill SAJ dan penyesuaian tarif air baharu yang dilaksanakan, dengan pengguna domestik hampir tidak terjejas manakala pengguna bukan domestik dan pusat data akan dikenakan kadar khusus.
Dalam pada itu, Maybank Investment Bank menyifatkan keputusan kewangan 1QFY26 Ranhill sebagai permulaan yang baik, dengan keuntungan bersih meningkat sebanyak 83% tahun ke tahun kepada RM30 juta, melebihi jangkaan mereka.
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan tarif air baru-baru ini serta pendedahan Ranhill kepada tema Zon Ekonomi Johor-Singapura dan pusat data sebahagian besarnya telah diambil kira dalam harga saham, dan sebarang kenaikan lanjut bergantung kepada kelulusan margin terkawal yang lebih tinggi.
“Berdasarkan penilaian semasa, kami mengekalkan saranan Hold dengan sasaran harga RM1.80 sesaham, naik daripada RM1.40 sebelum ini,” katanya.
Maybank IB turut menekankan risiko termasuk perubahan peraturan, lesen, penentuan tarif, serta kemungkinan gangguan tidak dijadualkan di loji kuasa yang boleh menjejaskan prestasi kewangan syarikat. - DagangNews.com








