KUALA LUMPUR 17 April — Prestasi lemah yang berterusan dalam segmen pos dilihat masih menekan prospek DRB-Hicom Berhad bagi tahun kewangan 2026 (FY26), menurut analisis CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun disokong momentum kukuh jualan automotif dan sumbangan stabil daripada segmen lain, Pos Malaysia Berhad kekal menjadi faktor penghalang pertumbuhan.
Kelemahan pendapatan daripada anak syarikat tersebut menyebabkan penurunan hasil kumpulan itu daripada sebanyak RM2.2 bilion pada 2021 kepada hanya kira-kira RM1.8 bilion dicatatkan pada 2025.
“Cabaran utama berpunca akibat penurunan struktur perkhidmatan mel tradisional, peningkatan kos operasi serta persaingan sengit dalam penghantaran bungkusan,” kata CIMB Securities dalam notanya.
Bagaimanapun, firma itu menjelaskan segmen automotif melalui Proton Holdings Berhad terus menjadi pemacu pertumbuhan kumpulan, dengan penghantaran sebanyak 49,140 unit pada suku pertama 2026.
Angka tersebut ujarnya, mewakili 24.6% daripada sasaran tahunan, dan bagi 2026, Proton menyasarkan jualan 200,000 unit, naik 26% tahun ke tahun (YoY), disokong pelancaran pelbagai model baharu.

Selain itu kata CIMB Securities, bahagian aeroangkasa pula melalui Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) dijangka mendapat manfaat daripada integrasi Spirit AeroSystems Malaysia.
"Ia diramal berpotensi besar meningkatkan hasil pro forma melebihi RM1.4 bilion, manakala dalam segmen kewangan, Bank Muamalat Malaysia Berhad turut kekal penyumbang pendapatan stabil," katanya.
Hasil meningkat dua kali ganda kepada RM2.2 bilion pada 2025 berbanding RM1.1 bilion pada 2021, dan DRB-Hicom juga sedang menilai potensi penyenaraian bank tersebut bagi mengurangkan pegangan.
Usaha berkenaan turut selaras dengan keperluan pengawalseliaan, di samping kumpulan itu pada masa sama menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa bagi melaksanakan pembaharuan dalam segmen pos.
Antaranya termasuk mendapatkan pampasan lebih adil bagi kewajipan perkhidmatan sejagat (USO), mengawal amalan antipersaingan serta mengoptimumkan rangkaian penghantaran agar ia lebih cekap.
"Kami justeru mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap DRB-Hicom, mengambil kira keseimbangan pertumbuhan kukuh Proton dan tekanan berterusan daripada Pos Malaysia," ujarnya. - DagangNews.com








