Prestasi kewangan PPB diyakini kembali stabil selepas untung RM480 juta bagi FY25, kata UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi kewangan PPB diyakini kembali stabil selepas untung RM480 juta bagi FY25, kata UOBKH

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 April – Prestasi kewangan PPB Group Berhad diyakini kembali stabil selepas mencatatkan keuntungan kasar operasi teras RM480 juta bagi FY25, menurut UOB Kay Hian (UOBKH).


Angka berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, meningkat 41% tahun ke tahun (YoY) menandakan asas pendapatan semakin mantap, dan isu kejutan negatif sebelum ini berkemungkinan sudah berlalu.


Tambahnya, prestasi itu terus disokong oleh operasi agribisnes, perniagaan pawagam dan sumbangan Wilmar International Ltd yang dijangka mencatat pertumbuhan hasil teras sebanyak 17% pada 2026.


“Kami kekal positif terhadap trajektori pendapatan PPB disokong oleh margin stabil dalam segmen pengilangan tepung dan makanan ternakan serta perolehan daripada Wilmar,” kata UOBKH dalam nota.


Berdasarkan kepada perkembangan semasa itu, firma berkenaan mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran tidak berubah RM14.10, mencerminkan potensi kenaikan berbanding paras semasa.


Segmen agribisnes kumpulan tersebut ujarnya, kekal sebagai penyumbang utama apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kira-kira 22% kepada RM393 juta, didorong kos jualan lebih rendah.


Pada masa sama jelas UOBKH, perniagaan filem dikendalikan PPB menunjukkan pemulihan ketara dengan keuntungan melonjak kepada RM68 juta berbanding RM4 juta sebelum ini susulan peningkatan kutipan.


"Bagi 2026 pula, kami menjangka kos operasi kekal stabil meskipun berdepan kenaikan caj logistik dan turun naik harga komoditi, dengan harga gandum terkawal hasil stok global mencukupi," katanya.


Selain itu tambahnya, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) turut dijangka membantu mengurangkan kos import bahan mentah serta pembelian hak filem luar negara.


Justeru, UOBKH berpandangan yang perniagaan pawagam menerusi anak syarikatnya, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd akan terus berkembang pesat disokong barisan filem menarik sepanjang tahun ini.


Di samping itu tambah firma penyelidikan tersebut, kedudukan tunai bersih kumpulan yang meningkat kira-kira 45% kepada RM1.85 bilion turut memberikan fleksibiliti kewangan kukuh terhadap PPB.


"Pelarasan nilai RM4.2 bilion berkaitan Wilmar sebelum ini dilihat sebagai pelaburan sekali sahaja dan tidak menjejaskan keupayaan pembayaran dividen kumpulan," katanya. - DagangNews.com