Prestasi kewangan kukuh S P Setia bagi FY25 disebabkan untung penjualan tanah, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi kewangan kukuh S P Setia bagi FY25 disebabkan untung penjualan tanah, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac – Prestasi kewangan S P Setia Berhad bagi FY25 yang banyak dipacu keuntungan sekali beri daripada pelupusan tanah mencetuskan perbezaan pandangan dalam kalangan penganalisis.


Menurut mereka, kumpulan itu menetapkan sasaran jualan lebih rendah bagi FY26, susulan keputusan kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, mencatat jualan hartanah RM5.1 bilion.


Angka berkenaan memang melepasi sasaran dalaman RM4.8 bilion yang ditetapkan, namun pengiktirafan hasil jualan tanah secara besar-besaran menjadi pemacu utama lonjakan keuntungan besar tersebut.


Sehubungan itu, Maybank Investment Bank menurunkan saranan terhadap S P Setia kepada ‘pegang’ daripada 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu 96 sen berbanding RM1.02 sebelum itu.


"Untung teras bersih 4QFY25 sebanyak RM227.6 juta naik 1.5 kali ganda tahun ke tahun(YoY), dengan keuntungan teras bagi FY25 berjumlah RM463.2 juta, bersamaan 97% daripada unjuran kami," katanya.


Prestasi itu disokong keuntungan pelupusan bersih RM300 juta daripada jualan tanah Tanjung Kupang yang membantu mengimbangi peruntukan rosot nilai hutang ragu dan inventori berjumlah RM213.6 juta.


Maybank IB melihat langkah yang dilaksanakan S P Setia tersebut sebagai usaha serius oleh kumpulan berkenaan untuk segera bertindak ‘membersihkan’ kunci kira-kiranya di bawah kepimpinan baharu.


Bagaimanapun kata firma itu, pengurusan syarikat pula menetapkan sasaran jualan pada FY26 lebih rendah iaitu RM4.6 bilion, kurang 10% YoY berikutan jangkaan pengurangan jualan tanah bukan teras.


"Kami menyemak turun unjuran pendapatan FY26 sebanyak 57% dan menaikkan FY27 sebanyak 5% selepas diambil kira pelarasan pengiktirafan bil kemajuan serta perubahan andaian kadar ambilan," ujarnya.


Sementara itu, CGS International (CGSI) terus mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan TP lebih tinggi iaitu RM1.62 berbanding RM1.46, bersandarkan diskaun 60% kepada nilai aset bersih diselaraskan.


Ia turut melaporkan keuntungan teras S P Setia bagi FY25 meningkat 11% YoY, mengatasi unjuran firma itu sebanyak 83%, didorong hasil jualan tanah ‘lumpy’ berjumlah RM570 juta pada 4QFY25.


Pengiktirafan penuh pelupusan Tanjung Kupang bernilai RM500 juta itu dibuat lebih awal daripada jangkaan dengan margin sebelum cukai sekitar 50%, yang lebih tinggi daripada andaian awal 30%.


"Bagi FY26, kami meramalkan pengiktirafan jualan tanah terus menjadi pemacu utama hasil, dengan anggaran RM1.8 bilion hingga FY28 pada margin purata lebih konservatif sekitar 35%," kata CGSI.


Walaupun pengurusan S P Setia menetapkan sasaran jualan lebih rendah untuk FY26, ia melihat potensi dipacu pelancaran projek bernilai RM5.36 bilion serta sumbangan jualan tanah industri.


Firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran pendapatan sesaham FY26 dan FY27 masing-masing 8% dan 36% selepas mengambil kira jualan tanah baharu dan pelarasan masa pengiktirafan pendapatan.


CGSI turut bersetuju bahawa prestasi masa depan kumpulan pemaju hartanah tersebut ketika ini banyak bergantung kepada pelaksanaan pelancaran baharu dan monetisasi tanah secara berdisiplin.


"Kami melihat penilaian semasa yang rendah sebagai peluang, dengan pemangkin kenaikan termasuk jualan tanah tambahan dan pertumbuhan jualan lebih kukuh selepas FY25," katanya. - DagangNews.com