Prestasi 1Q lemah, CIMB Securities semak turun unjuran Muhibbah Engineering hingga FY28 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi 1Q lemah, CIMB Securities semak turun unjuran Muhibbah Engineering hingga FY28

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei – CIMB Securities Sdn Bhd menyemak semula unjuran pendapatan Muhibbah Engineering (M) Bhd bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2028 susulan prestasi kewangan syarikat yang lebih lemah daripada jangkaan pada suku pertama 2026.

 

Firma penyelidikan itu juga menurunkan harga sasaran saham syarikat daripada 54 sen kepada 50 sen, namun mengekalkan saranan “Pegang” memandangkan masih terdapat potensi pemulihan dalam tempoh akan datang.

 

Pada suku pertama 2026, Muhibbah Engineering merekodkan penurunan pendapatan sebanyak 27% kepada RM234 juta, manakala keuntungan teras merosot lebih ketara iaitu 56% kepada RM8 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

CIMB Securities berkata prestasi itu jauh di bawah jangkaan apabila hanya memenuhi sebahagian kecil daripada unjuran tahunannya serta anggaran pasaran, menunjukkan kelembapan operasi yang lebih ketara daripada dijangka.

 

“Antara faktor utama yang menekan keputusan kewangan syarikat ialah kelembapan dalam segmen kren dan automasi di bawah anak syarikat Favelle Favco, selain aktiviti pengebilan projek pembinaan yang lebih perlahan,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Susulan keputusan tersebut, CIMB Securities bertindak mengurangkan unjuran keuntungan teras bagi FY26 hingga FY28 antara 22% hingga 30%, dengan unjuran baharu keuntungan berada dalam julat RM49 juta hingga RM65 juta setahun.

 

Semakan itu turut mengambil kira tekanan kos yang lebih tinggi, khususnya melibatkan bahan binaan dan logistik, di samping jangkaan pengurangan dalam aliran projek baharu bagi tempoh tersebut.

 

Menurut firma itu, setiap tambahan sekitar RM100 juta dalam projek infrastruktur baharu berpotensi meningkatkan keuntungan teras syarikat antara 5% hingga 8%, menunjukkan kebergantungan tinggi kepada kemenangan kontrak baharu.

 

Walaupun prestasi suku pertama lemah, firma itu menjangkakan keadaan akan bertambah baik dalam baki tahun 2026 disokong oleh pengiktirafan kerja daripada Projek Pembangunan Semula Bersepadu Sepat yang bernilai sehingga RM850 juta.

 

Pemulihan juga dijangka disokong oleh peningkatan aktiviti dalam segmen kren dan automasi selepas kelembapan bermusim pada awal tahun, yang sebelum ini menjejaskan jumlah kerja.

 

Selain itu, syarikat turut meraih kontrak baharu di Australia bernilai RM91 juta.

 

Tiada sebarang pembayaran dividen diumumkan bagi suku pertama tahun ini.

 

CIMB Securities bagaimanapun menjangkakan pergerakan harga saham Muhibbah kekal terhad dalam jangka pendek berikutan ketidaktentuan aliran tender infrastruktur serta cabaran dalam operasi lapangan terbang di Kemboja.

 

Prospek sektor minyak dan gas juga dilihat masih perlahan sementara menunggu perkembangan rundingan antara PETRONAS dan Petroleum Sarawak Bhd yang masih berlarutan.

 

Bagaimanapun, saham syarikat masih dilihat mempunyai sokongan daripada hasil dividen yang dianggarkan menarik bagi tempoh 2026 hingga 2028, iaitu sekitar 4.8% hingga 6.7%. - DagangNews.com