Premier Sarawak kecewa projek utama lewat siap, termasuk BCCK 2 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Premier Sarawak kecewa projek utama lewat siap, termasuk BCCK 2

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 April — Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg meluahkan rasa kecewa kerana beberapa projek yang diumumkan sebelum ini tidak berjalan lancar meskipun dana telah diperuntukkan.


Beliau tidak mengetahui di mana kelemahan perkara berkenaan memandangkan dana sudah pun diberikan tetapi projek tersebut di lapangan tidak pula dilaksanakan seperti yang dikehendaki.


“Peruntukan sudah diberi, nampaknya di lapangan tidak dilaksanakan dengan secepat mungkin. Maka saya minta kepada agensi yang menyelaras untuk memantau pelaksanaan projek supaya turun padang.


“Asalkan projek sudah diumumkan oleh saya serta rakan Kabinet lain, kita telah memberi peruntukan dan ia harus dijalankan dengan segera,” katanya berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2025 Jabatan Premier Sarawak di Kuching.


Abang Johari turut memberi contoh projek perluasan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK 2) yang telah ditetapkan untuk siap menjelang April 2028 bersempena dengan penganjuran International Water Conference.


Kata beliau, projek tersebut perlu dilaksanakan tanpa berlaku kelewatan memandangkan ia melibatkan reputasi antarabangsa.


“Kalau lambat (siap), malu kita. Kita sudah menang bida jadi tuan rumah, kalahkan negara lain. Tapi kalau siap awal, ia akan beri impak besar kepada imej dan ekonomi negeri,” ujarnya.


Beliau menekankan bahawa struktur pentadbiran dan agensi pelaksana mesti turun padang bagi memastikan projek dapat berjalan dengan lancar.


Justeru, Abang Johari berkata bahawa tiada alasan untuk kelewatan kerana mandat dan dana telah diberikan.


“Selagi projek diumumkan dan peruntukan diluluskan, ia mesti dilaksanakan cepat. Agensi pelaksana kena turun ke lapangan. Jangan tunggu-tunggu,” tegas beliau.


Katanya ia turut memperkukuh rasional di sebalik penyusunan semula Kabinet Negeri, iaitu bagi memastikan pelaksanaan projek strategik Sarawak berjalan lancar, pantas dan memberi manfaat kepada rakyat.


“Kita semua kena kerja keras. Bukan hanya pegawai, menteri pun kerja masa hujung minggu dan masa raya. Sambil raya, sambil bincang,” katanya.


Abang Johari turut menegaskan bahawa fokus utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah pelaksanaan projek mega strategik termasuk pembangunan lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam, selari dengan transformasi ekonomi negeri ke arah ekonomi maju.


Katanya, menjelang fasa baharu pembangunan, Sarawak tidak lagi akan memberi penekanan besar terhadap pembinaan asas seperti jalan raya dan jambatan kerana majoritinya telah disiapkan di bawah perancangan sebelumnya.


Beliau menggesa kerjasama erat antara sektor perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan menepati jadual.


Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian. - DagangNews.com