KUALA LUMPUR 30 Okt - Indeks harga pengeluar (PPI) Malaysia terus mencatatkan penurunan pada September 2025 namun pada kadar yang lebih perlahan iaitu -0.8% tahun ke tahun (yoy) berbanding -2.8% yoy pada Ogos, menandakan penurunan paling sederhana dalam siri tujuh bulan berturut-turut deflasi pengeluar, menurut laporan MBSB Research.
Laporan itu menjelaskan, penyusutan yang lebih kecil dalam sektor pembuatan (-2.1% yoy; Ogos: -4.0% yoy) menjadi faktor utama memperlahankan kadar deflasi keseluruhan, dengan kejatuhan ketara dalam produk kok dan petroleum bertapis (-8.9% yoy) sebahagiannya diimbangi oleh bacaan yang lebih kukuh dalam kelompok pembuatan lain.
Sektor perlombongan pula kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak +1.1% yoy (Ogos: -3.4% yoy), disokong oleh peningkatan harga dalam pengeluaran gas asli (+8.9% yoy) selepas enam bulan berturut-turut mencatat deflasi.
Dalam masa sama, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan turut memperlihatkan kenaikan harga yang lebih pantas sebanyak +7.8% yoy (Ogos: +7.3% yoy), didorong oleh peningkatan ketara dalam tanaman kekal (+11.7% yoy).
Sektor utiliti terus menyumbang kepada tekanan harga ke arah positif dengan inflasi berterusan dalam bekalan elektrik dan gas (+4.6% yoy; Ogos: +4.1% yoy) serta bekalan air (+9.1% yoy; Ogos: +3.4% yoy).
Secara bulanan (m-o-m), harga pengeluar meningkat lebih pantas sebanyak +0.5% pada September (Ogos: +0.1%), menandakan bulan kedua berturut-turut pertumbuhan positif, dipacu oleh kenaikan harga dalam industri pertanian (+2.1% mom) dan pembuatan (+0.3% mom).
Mengikut peringkat pemprosesan, bahan pertengahan (-1.2% yoy; Ogos: -3.1% yoy) dan barangan siap (-1.8% yoy; Ogos: -3.4% yoy) kekal dalam fasa deflasi namun pada kadar yang lebih perlahan.
Sebaliknya, PPI bagi bahan mentah meningkat semula kepada +2.4% yoy (Ogos: -0.8% yoy), disokong oleh harga yang lebih tinggi bagi bahan bukan makanan (+2.3% yoy) serta bahan makanan dan makanan ternakan (+3.0% yoy).
Bagi suku ketiga 2025 (3QCY25), PPI keseluruhan menguncup pada kadar yang lebih perlahan sebanyak -2.4% yoy berbanding -3.7% yoy pada suku sebelumnya, hasil kelemahan berterusan dalam sektor pembuatan dan perlombongan yang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan dalam sektor pertanian dan utiliti.
MBSB Research menegaskan, data terkini menunjukkan tekanan harga di peringkat huluan semakin stabil, sejajar dengan pengukuhan harga komoditi global dan pemulihan permintaan tenaga.
“Walaupun tekanan inflasi keseluruhan masih terhad akibat penurunan harga bahan pertengahan dan barangan modal, tekanan baharu terhadap harga pengguna mungkin timbul sekiranya peningkatan harga bahan mentah dan bahan asas berterusan,” jelas laporan itu. - DagangNews.com








