PPB catat kerugian bersih RM2.73 bilion bagi FY25 disebabkan kes mahkamah terhadap Wilmar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PPB catat kerugian bersih RM2.73 bilion bagi FY25 disebabkan kes mahkamah terhadap Wilmar

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 AprilPPB Group Berhad mencatatkan kerugian bersih RM2.73 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding keuntungan bersih RM1.22 bilion pada FY24. 


Kumpulan itu menjelaskan penyusutan besar tersebut disebabkan caj kemerosotan nilai bukan tunai sekali sahaja berjumlah RM4.17 bilion berkaitan pelaburannya dalam Wilmar International Limited.


Syarikat bersekutu yang dimiliki 18.8% pegangan, terbabit dalam kes mahkamah di Indonesia apabila lima anak syarikatnya diperintahkan membayar pampasan kepada kerajaan negara itu pada 3QFY25. 


"Bagaimanapun pendapatan kumpulan didapati meningkat sedikit sebanyak 1% kepada RM5.43 bilion berbanding RM5.39 bilion pada FY24," jelas PPB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Jika tidak mengambil kira kes Wilmar, keuntungan sebelum cukai kumpulan sebenarnya melonjak 20% kepada RM1.60 bilion, dipacu prestasi kukuh segmen perniagaan teras yang naik sebanyak 41%,.


Bijirin dan agribisnes kekal sebagai penyumbang utama dengan keuntungan meningkat 22% kepada RM393 juta, manakala segmen filem menerusi rangkaian pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) pulih ketara 

 

PPB Group_DagangNews


PPB berkata, keuntungannya dicatatkan melonjak kepada sebanyak RM69 juta berbanding hanya kira-kira RM4 juta pada tahun sebelumnya, didorong oleh kutipan 'pecah panggung' yang lebih tinggi.


"Sementara itu, segmen produk pengguna pula mencatatkan untung yang meningkat kepada RM6.7 juta, dibantu oleh faktor keuntungan daripada proses pengambilalihan Kumpulan Min Tien," jelasnya.


Begitu juga segmen hartanah apabila berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM6.8 juta, namun terkesan oleh jurang kerugian sekali sahaja ke atas hartanah pelaburan syarikat bersekutu.


Lembaga Pengarah PPB mencadangkan dividen akhir sebanyak 30 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY25 sebanyak 42 sen sesaham, menyamai kadar agihan tahun sebelumnya.


Kumpulan berkenaan turut mengukuhkan kedudukan tunai dan baki bank sebanyak 23% kepada RM2.04 bilion, dengan terus fokus kepada kecekapan operasi dan pengurusan kos dalam persekitaran sengit.


Pengerusinya, Datuk (Dr) Kapten Ahmad Sufian menyatakan walaupun ada kerugian, kumpulan optimis terhadap daya tahan Wilmar dan menjangkakan ada sumbangan signifikan pada masa depan. - DagangNews.com