KUALA LUMPUR 29 Okt - Sebanyak lapan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dikenal pasti oleh MBSB Research sebagai ‘Pilihan Nilai Dipertingkatkan’ (Enhanced Value Picks) menerusi laporan terbaharu Trading Radar, berdasarkan penilaian terhadap nilai aset bersih, rekod keuntungan, kedudukan tunai bersih serta tahap pemodalan pasaran.
Menurut laporan itu, sebanyak 430 syarikat di Bursa Malaysia kini diniagakan pada diskaun ketara berbanding nilai aset bersih mereka, iaitu pada nisbah harga/nilai buku (P/BV) tidak melebihi 0.66 kali.
Namun, hanya 90 syarikat menunjukkan rekod keuntungan tanpa gangguan selama 10 tahun berturut-turut.
Daripada jumlah tersebut, hanya 49 syarikat memiliki kedudukan kewangan kukuh dengan jumlah tunai melebihi hutang, dan daripada kumpulan ini, hanya lapan syarikat memenuhi had minimum pemodalan pasaran sebanyak RM500 juta — menjadikannya layak diklasifikasikan sebagai Pilihan Nilai Dipertingkatkan.
Syarikat-syarikat tersebut ialah PPB Group Bhd, Cahya Mata Sarawak Bhd, Plenitude Bhd, MKH Bhd, Insas Bhd, Pantech Group Holdings Bhd, SHL Consolidated Bhd, dan Suria Capital Holdings Bhd.
Antara kriteria utama yang digunakan dalam pemilihan ini termasuk:
Nisbah harga/nilai buku (P/BV) tidak melebihi 0.66 kali;
Rekod keuntungan tanpa henti selama 10 tahun;
Jumlah tunai melebihi hutang; dan
Pemodalan pasaran sekurang-kurangnya RM500 juta.
MBSB Research dalam laporan itu berkata, objektif utama misi ini adalah untuk mengenal pasti syarikat yang murah, berdaya maju, berdaya tahan kewangan serta berpotensi menarik minat pelabur institusi.
Dalam laporan yang sama, MBSB Research turut memberikan sasaran harga teknikal (Technical Target Price, TTP) bagi saham-saham tersenarai seperti berikut:
PPB Group – RM14.00
Cahya Mata Sarawak – RM2.00
Plenitude – RM2.50
MKH – RM1.30
Insas – RM1.00
Pantech Group Holdings – RM0.87
SHL Consolidated – RM2.70
Suria Capital Holdings – RM2.00
Sementara itu, bagi dua syarikat yang turut diliputi oleh MBSB Research, PPB Group dikekalkan pada saranan Neutral dengan harga sasaran RM11.02, manakala Cahya Mata Sarawak disyorkan Buy dengan harga sasaran RM1.49.
MBSB Research menambah, penemuan ini menunjukkan, walaupun terdapat banyak saham murah di pasaran, hanya segelintir yang benar-benar kukuh dari segi asas dan mampu menawarkan potensi pulangan menarik kepada pelabur jangka panjang. - DagangNews.com








