Powerwell menang tender RM68.4 juta berkaitan pusat data di Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Powerwell menang tender RM68.4 juta berkaitan pusat data di Selangor

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 JanPowerwell Holdings Berhad menerima tempahan belian (PO) bernilai RM68.47 juta daripada sebuah firma teknologi multinasional terkemuka dalam pembangunan pusat data di Selangor.


Menurut kumpulan rumusan pengagihan tenaga elektrik yang ditubuhkan sejak 1985 itu, tender baharu tersebut diterima sendiri oleh anak syarikat milik penuhnya, Powerwell International Sdn Bhd.


Tambahnya, PO tersebut yang bertarikh 28 Januari 2026 itu melibatkan pelbagai skop kerja termasuk reka bentuk, perolehan, penghantaran, ujian serta pentauliahan sistem suis gear bervoltan rendah.


"Projek ini dijangka dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan pelanggan berkenaan menjelang tempoh suku kedua tahun ini," kata Powerwell dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Menurut lembaga pengarah, kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan tersebut bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 hingga 31 Mac 2027.


Pihak pengurusan turut menyatakan bahawa tiada risiko luar biasa yang dijangkakan selain risiko operasi biasa, dan langkah mitigasi sewajarnya akan diambil sepanjang pelaksanaan projek itu.


Kumpulan berkenaan menjelaskan yang tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam urus niaga PO tersebut.


"Selain itu, lembaga pengarah Powerwell turut berpandangan bahawa penerimaan tender ini adalah selaras dan demi kepentingan terbaik syarikat berkenaan," katanya. - DagangNews.com