Powerwell beri elaun minyak RM100 sebulan ringankan beban pekerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Powerwell beri elaun minyak RM100 sebulan ringankan beban pekerja

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – Powerwell Holdings Berhad memperkenalkan elaun minyak khas sebanyak RM100 sebulan untuk semua pekerjanya, berkuat kuasa serta-merta. 

 

Tindakan ini dilakukan susulan kenaikan mendadak harga minyak global yang telah memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat Malaysia.

 

Harga RON95 yang tidak disubsidi kini berharga RM3.87 seliter, hampir dua kali ganda daripada harga subsidi RM1.99. Keadaan ini memberi kesan besar kepada keluarga yang perlu bergerak setiap hari untuk bekerja, menghantar anak ke sekolah atau menjalankan urusan harian.

 

 

 

 

 

Dalam kenyataannya, Powerwell memaklumkan langkah ini bertujuan meringankan beban kewangan pekerja. 

 

“Elaun tunai ini menjadikan Powerwell antara majikan pertama di Malaysia yang memperkenalkan inisiatif sedemikian berikutan kenaikan harga minyak.

 

“Pekerja merupakan aset paling penting kami. Minyak bukan satu kemewahan tetapi keperluan untuk pergi bekerja dan menjalankan kehidupan harian. Apabila harga minyak naik, kami tahu kami perlu bertindak segera untuk meringankan beban kewangan pekerja,” kata kenyataan tersebut.

 

Elaun RM100 sebulan ini akan diberikan kepada semua pekerja yang layak, tanpa mengira jawatan atau gred. Langkah ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Powerwell untuk memastikan perubahan polisi nasional tidak menjejaskan kualiti hidup pekerja.

 

Powerwell juga akan terus memantau perkembangan ekonomi dan bersedia memberikan sokongan tambahan jika diperlukan. 

 

“Kesejahteraan pekerja adalah kunci kepada kejayaan keseluruhan syarikat,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

Powerwell adalah pengeluar peralatan pengagihan elektrik voltan rendah dan sederhana yang berpengalaman lebih 30 tahun. Syarikat mempunyai rekod projek yang telah siap di lebih 10 negara dan memberi perkhidmatan kepada pelbagai sektor termasuk pusat data, pembangunan komersial, lapangan terbang, infrastruktur pengangkutan, tenaga boleh diperbaharui, serta minyak dan gas.

 

Selain pengagihan elektrik, Powerwell baru-baru ini mengembangkan perniagaan kepada sistem pemadaman api dan produk berkaitan melalui pengambilalihan sebuah syarikat tempatan.- DagangNews.com