Potensi medan gas Tangkulo membuka peluang kontrak projek kapal Bumi Armada, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Potensi medan gas Tangkulo membuka peluang kontrak projek kapal Bumi Armada, kata Maybank IB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 Mac – Keputusan bidaan projek kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) bagi medan gas Tangkulo dijangka menjadi faktor kritikal Bumi Armada Berhad.


Menurut Maybank Investment Bank, peluang tersebut boleh menentukan prospek penarafan semula saham kumpulan itu kerana lapangan berkenaan dianggarkan ada rizab gas lebih 2 trilion kaki padu (tcf).


Firma penyelidikan itu menambah, kemenangan kontrak tersebut berpotensi menjadi pemangkin utama kepada syarikat bagi menamatkan kebimbangan terhadap penyusutan struktur buku tempahan sedia ada.


"Justeru, kami mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Bumi Armada dengan harga sasaran (TP) 37 sen sesaham, lebih rendah berbanding 39 sen sebelum ini," katanya dalam nota analisis hari ini.


Jelas Maybank IB, unjuran itu selepas beberapa pelarasan andaian termasuk kadar tukaran jangka panjang dolar Amerika Syarikat (AS) kepada ringgit pada RM4.00 berbanding RM4.50 sebelum ini.


Tambah firma berkenaan, langkah pelarasan tersebut menyebabkan unjuran pendapatan sesaham kumpulan itu bagi FY27 hingga FY28 disemak turun masing-masing kepada paras sekitar 10% dan 9% sahaja.


Laporan industri menyatakan syarikat tenaga Mubadala Energy dan Harbour Energy menyasarkan agar keputusan pelaburan akhir (FID) bagi projek medan gas Tangkulo di Indonesia itu pada Jun 2026.


“Bumi Armada dilaporkan bersaing secara langsung dengan satu lagi syarikat tersenarai Malaysia bagi kontrak itu dan jika berjaya, ini menjadi pemangkin penarafan semula saham,” kata Maybank IB.

 

Bumi Armada


Dalam masa sama, firma itu menjangkakan pendapatan sesaham jatuh 14% pada FY26 dan 4% pada FY27, disebabkan oleh dua faktor utama, termasuk andaian kadar pertukaran dolar AS yang lebih rendah.


Selain itu tambahnya, penamatan kontrak FPSO Armada TGT 1 menjelang akhir FY2026 juga memberi kesan, namun masih terdapat potensi peningkatan sekiranya kontrak tersebut dapat dilanjutkan. 


Maybank IB berkata, peluang itu positif kepada Bumi Armada jika medan minyak Te Giac Trang di pesisir selatan Vietnam menerima lanjutan lesen operasi selama lima tahun sehingga Disember 2031.


"Sementara itu, kumpulan ini turut merancang mempelbagaikan perniagaan ke dalam segmen huluan minyak dan gas (O&G) di Indonesia melalui blok penerokaan baharu iaitu Akia dan Kojo," jelasnya.


Bagaimanapun ujar firma itu, kedua-dua projek tersebut masih di peringkat penerokaan awal dan pengeluaran pertama dijangka hanya berlaku selepas 2030 sekiranya kontrak pembangunan berjaya.


Langkah ini berpotensi membolehkan Bumi Armada membangunkan projek menggunakan sistem pengeluaran terapung miliknya sendiri, khususnya bagi medan Kojo yang terletak di kawasan laut dalam.


Dalam perkembangan industri kata Maybank IB, ketidaktentuan harga minyak global dan konflik Asia Barat boleh memperlahankan kelulusan projek tenaga baharu melibatkan banyak syarikat minyak utama.


"Mereka lebih berhati-hati dalam membuat FID, manakala gangguan operasi aset terapung serta risiko pelaksanaan projek seperti lebihan kos atau penamatan kontrak memberi kesan negatif," ujarnya. - DagangNews.com