Polis sahkan Victor Chin antara 10 individu pernah ditahan di bawah Ops Viking | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Polis sahkan Victor Chin antara 10 individu pernah ditahan di bawah Ops Viking

KUALA LUMPUR 30 Mac - Polis mengesahkan ahli perniagaan Victor Chin Boon Loong antara 10 individu yang ditahan atas kesalahan disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram di bawah Ops Viking, yang dijalankan antara 15 Oktober tahun lalu hingga 13 Januari tahun ini.

 

Ketua Pasukan, Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fazlisyam Abd Majid, berkata Victor Chin ditahan pada Disember tahun lalu dan telah dibebaskan dengan jaminan polis, walaupun beliau boleh dipanggil semula jika perlu.

 

Fazlisyam menambah baki sembilan individu yang ditahan, terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita, dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan siasatan, turut dibebaskan dengan jaminan, manakala 40 individu lain telah dipanggil untuk memberi keterangan.

 

Beliau berkata operasi itu dilancarkan pada 14 Oktober tahun lalu berdasarkan maklumat risikan mengenai aktiviti pengubahan wang haram yang bermula sejak 2018, dengan siasatan rasmi dibuka pada 25 Oktober di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

 

“Kes ini melibatkan beberapa individu yang disyaki melakukan kesalahan pengubahan wang haram melalui pelbagai kaedah, termasuk pemerolehan atau pemilikan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, serta syarikat swasta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Fazlisyam menekankan operasi itu telah mengakibatkan pembekuan dan sitaan pelbagai aset, termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan, 1,100 saham dalam dua syarikat sendirian berhad, akaun Central Depository System (CDS) bernilai RM323,588,293, akaun dagangan sebanyak RM64,246,417, dan 404 akaun bank berjumlah RM85,624,528.

 

Beliau menambah siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh terhadap semua pihak yang disyaki terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan dana yang berasal daripada aktiviti haram.

 

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 27B dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Seksyen 176 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Seksyen 221 Akta Syarikat 2016.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pada 16 Mac, polis mengesahkan mereka telah menyerbu beberapa premis milik Victor Chin, yang didakwa terlibat dalam manipulasi korporat berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Dalam perkembangan berkaitan, Fazlisyam menyatakan pihak berkuasa belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Victor Chin bahawa seorang ahli Parlimen meminta RM10 juta untuk membantu menyelesaikan isu manipulasi korporat itu. - BERNAMA