PNB tegaskan agenda nasional dan Bumiputera sentiasa diutamakan, hargai nasihat PM Anwar berkaitan Prolintas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PNB tegaskan agenda nasional dan Bumiputera sentiasa diutamakan, hargai nasihat PM Anwar berkaitan Prolintas

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR  2 Sept – Permodalan Nasional Bhd (PNB) menegaskan kepentingan pemegang unit, rakyat serta agenda nasional dan Bumiputera sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam membuat sebarang keputusan berkaitan pelaburan aset strategik selaras dengat mandat yang diberikan.

 

Sehubungan itu, institusi pelaburan saham amanah terbesar negara itu tidak akan memilih opsyen pelupusan pemilikan sekiranya ia menjejaskan manfaat jangka panjang pemegang unit atau memberi kesan negatif kepada usaha PNB menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

 

Dalam satu kenyataan di laman webnya, PNB berkata pihaknya menyambut baik serta menghargai nasihat dan panduan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung semakan pilihan pelaburan strategik dalam Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).

 

“Prinsip panduan yang diberikan Perdana Menteri akan dipatuhi ketika PNB memuktamadkan dan menyelesaikan proses semakan pilihan strategik.

 

“Panduan ini juga selaras dengan rangka kerja pelaburan PNB yang mengutamakan kepentingan pemegang unit, rakyat serta agenda nasional dan Bumiputera dalam menilai pelaburan aset strategik, seiring dengan mandat yang telah diamanahkan,” kata PNB.

 

ARTIKEL BERKAITAN: PNB perlu utamakan kepentingan negara dan bumiputera, semak semula cadangan jual Prolintas - PM Anwar

 

Sabtu lalu, Anwar menggesa PNB supaya meletakkan kepentingan nasional dan Bumiputera sebagai keutamaan dalam membuat sebarang keputusan berkaitan semakan strategik pelaburannya di Prolintas.

 

Perdana Menteri menegaskan bahawa sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan nasional dan Bumiputera, PNB mesti mengekalkan peranan serta pegangan dalam aset strategik negara.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, proses semakan itu tidak boleh diteruskan sekiranya ia menjejaskan manfaat jangka panjang pemegang unit atau mengurangkan sumbangan PNB terhadap kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.

 

Media sebelum ini melaporkan bahawa PNB sedang menjalankan semakan strategik terhadap pelaburannya dalam Kumpulan Prolintas sebagai sebahagian daripada proses penilaian portfolio secara berkala.

 

Menurut PNB, inisiatif tersebut bertujuan mengenal pasti peluang untuk meningkatkan nilai jangka panjang demi manfaat pemegang unit.

 

PNB turut menegaskan bahawa segala keputusan pelaburan dibuat menerusi proses tadbir urus yang ketat, sejajar dengan mandat dan objektif pelaburan jangka panjang syarikat itu.

 

Baru-baru ini, PNB dilaporkan telah mengeluarkan tender untuk menjual keseluruhan portfolio lebuh rayanya yang telah dibangunkan sejak beberapa dekad lalu.

 

Syarikat tersenarai awam, IJM Corporation Berhad telah mengesahkan penyertaan dalam proses tender tersebut. - DagangNews.com