KUALA LUMPUR 30 Okt – Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menegaskan tiada sebarang rancangan segera untuk keluar daripada projek Battersea Power Station di London.
Penjelasan itu dibuat susulan laporan agensi berita antarabangsa mendakwa kedua-dua dana tersebut sedang mempertimbangkan untuk menjual aset komersial dalam pembangunan yang mereka peroleh pada 2019.
Dalam satu kenyataan bersama, PNB dan KWSP mengulangi komitmen mereka terhadap projek berkenaan, sambil menegaskan keyakinan terhadap prospek serta potensi pulangannya.
“Sehubungan itu, tiada sebarang rancangan segera untuk meneruskan langkah keluar,” kata pengurus dana terbesar negara dan institusi simpanan pekerja tersebut.
Ada dapat cadangan
Bagaimanapun, PNB dan KWSP memaklumkan bahawa mereka memang menerima cadangan daripada pihak yang berminat untuk melabur dalam projek tersebut dan akan menilai “setiap cadangan dengan teliti selaras dengan kriteria dan pertimbangan pelaburan kami.”
“Maka, secara lazimnya apabila sesuatu pelaburan mencapai kematangan dan pulangan sasaran, kami akan mempertimbangkan peluang untuk pelaksanaan monetisasi atau penglibatan rakan strategik bagi menyokong keperluan modal serta pertumbuhan masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Bloomberg sebelum ini melaporkan, memetik sumber, bahawa PNB dan KWSP telah melantik BNP Paribas sebagai penasihat bagi penjualan berpotensi aset Battersea Power Station selepas menerima minat daripada beberapa pelabur yang mahu membelinya.
Tiada harga panduan bagi aset tersebut didedahkan, namun ia terakhir dinilai pada £1.6 bilion (RM8.86 bilion) ketika PNB dan KWSP memperolehnya pada 2019 daripada konsortium yang membangunkan semula loji janakuasa yang telah dinyahoperasi itu.
Konsortium berkenaan, Battersea Project Holdings Co Ltd, terdiri daripada S P Setia Bhd dan Sime Darby Property Bhd yang masing-masing memegang 40% kepentingan, manakala KWSP memiliki 20%.
Konsortium itu memperoleh tapak loji dan kawasan sekitarnya pada harga sekitar £400 juta pada 2012 dan melaksanakan salah satu projek pembangunan semula terbesar di London.
PNB dan KWSP, yang juga pemegang saham utama dalam S P Setia dan Sime Darby Property, berkata projek Battersea kekal sebagai pelaburan strategik utama bagi para pemegang saham konsortium tersebut. - DagangNews.com








