PMCK dijangka terima manfaat daripada inisiatif kerajaan, Tradeview syor pelabur langgan IPO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PMCK dijangka terima manfaat daripada inisiatif kerajaan, Tradeview syor pelabur langgan IPO

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jun - PMCK Bhd, pengendali hospital yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan bagi meningkatkan kemampuan akses kepada penjagaan kesihatan swasta, kata Tradeview Research.

 

Katanya, syarikat yang berpusat di Kedah ini mempunyai daya saing dari segi harga, dengan caj prosedurnya 40%–60% lebih rendah berbanding hospital swasta lain dan hanya sekitar 5% lebih tinggi daripada hospital kerajaan.

 

Firma penyelidikan itu mengesyorkan para pelabur untuk melanggan tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) 27 sen.

 

“PMCK berada dalam kedudukan positif untuk mencatat pertumbuhan hasil dan pengembangan margin, dipacu peningkatan jumlah pesakit luar, kecekapan operasi yang lebih baik melalui penggunaan peralatan yang lebih tinggi, serta kadar prosedur yang lebih hampir kepada harga siling,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Permohonan untuk IPO, yang berharga 22 sen seunit, akan ditutup hari ini dan syarikat dijadualkan disenaraikan pada 9 Julai 2025.

 

Tradeview Research berkata, PMCK mengendalikan Pusat Perubatan Putra di Alor Setar yang menawarkan perkhidmatan pakar perunding, rawatan kecemasan dan sokongan klinikal dengan 40 orang perunding merangkumi 17 kepakaran.

 

Katanya, syarikat itu kini sedang membangunkan projek bercampur yang dinamakan PMC Kulim, merangkumi sebuah pusat perubatan swasta setinggi 12 tingkat, medan selera dan hotel yang akan memberi keutamaan kepada ahli keluarga pesakit, di atas tapak seluas lebih 141,000 kaki persegi di Kulim, Kedah.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, untung bersih bagi tempoh 12 bulan berakhir April 2025 (FY25) akan menyusut sebanyak 15% kepada RM12.7 juta disebabkan penurunan bilangan pesakit akibat banjir di Alor Setar dan kawasan sekitarnya yang menyukarkan akses pesakit, serta kos pentadbiran yang lebih tinggi bagi menarik dan mengekalkan bakat.

 

Namun, pendapatan dijangka pulih kepada RM15.3 juta pada FY26 dan RM16.1 juta pada FY27 dipacu kehadiran semula pesakit untuk pemeriksaan susulan selepas banjir, serta peningkatan jumlah pesakit menerusi Program Penyumberan Luar Perkhidmatan Hospital oleh kerajaan.

 

Program itu akan menyaksikan hospital awam merujuk pesakit ke fasiliti kesihatan swasta bagi mengurangkan kesesakan pesakit dan memendekkan masa menunggu, dijangka meningkatkan hasil dan pertumbuhan margin PMCK pada FY26 selaras dengan peningkatan jumlah kes dihantar kepada mereka, kata Tradeview. - DagangNews.com