PMB umum pengagihan pendapatan PMB Shariah Aggressive Fund 2.00 sen seunit, PMB Shariah Small-Cap Fund 1.00 sen seunit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PMB umum pengagihan pendapatan PMB Shariah Aggressive Fund 2.00 sen seunit, PMB Shariah Small-Cap Fund 1.00 sen seunit

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Ogos - PMB Investment Bhd, cabang pengurusan dana Islam milik Pelaburan MARA Bhd, mengumumkan agihan pendapatan bagi dua dana utamanya untuk tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025.

 

Bagi PMB Shariah Aggressive Fund, agihan pendapatan diumumkan sebanyak 2.00 sen seunit berjumlah RM4.21 juta keseluruhan, manakala PMB Shariah Small-Cap Fund membabitkan agihan sebanyak 1.00 sen seunit dengan jumlah keseluruhan RM221,882.

 

Ketua Pegawai Pelaburan, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, agihan tersebut membuktikan strategi pelaburan berdisiplin PMB Investment serta rekod prestasi jangka panjang yang konsisten.

 

"PMB Shariah Aggressive Fund mencatatkan pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 19.34 peratus atau purata tahunan 6.45 peratus sehingga 31 Julai 2025, dengan hasil semasa 4.08 peratus. 

 

"Manakala PMB Shariah Small-Cap Fund merekodkan pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 50.77 peratus (purata tahunan 16.92 peratus) dengan hasil 1.65 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Nilai Aset Bersih (NAB) seunit PMB Shariah Aggressive Fund sebelum agihan adalah 45.27 sen dan diselaraskan kepada 43.27 sen selepas agihan. Berdasarkan 'ex-date' 31 Julai, pembayaran tersebut diterjemahkan kepada hasil 4.08 peratus, mencerminkan ketahanan dana itu meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran.

 

Sementara itu, NAB seunit PMB Shariah Small-Cap Fund diselaraskan daripada 57.36 sen kepada 56.36 sen, mewakili hasil sebanyak 1.65 peratus. Dana ini terus menarik minat pelabur yang mencari pendedahan kepada ekuiti syarikat kecil dengan potensi pendapatan yang stabil.

 

Ditubuhkan pada 1972, PMB Shariah Aggressive Fund kekal sebagai antara penawaran utama kumpulan, manakala PMB Shariah Small-Cap Fund yang diperkenalkan pada 2016 terus menjadi tarikan kepada pelabur berorientasikan pertumbuhan.

 

Di bawah keadaan normal, kedua-dua dana memperuntukkan antara 70 hingga 99.5 peratus NAB masing-masing kepada ekuiti patuh syariah serta sekuriti berkaitan, manakala baki dilaburkan dalam sukuk, deposit Islam dan instrumen lain yang diluluskan.

 

Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata, agihan konsisten itu mencerminkan pengalaman serta dedikasi pengurus dana kumpulan selain keberkesanan penggunaan Nasdaq Dorsey Wright (NDW) Research Platform dalam mengenal pasti pelaburan patuh syariah berkualiti tinggi.

 

“Dengan menggabungkan pendekatan asas yang kukuh bersama analisis berasaskan teknologi, dana kami terus memberikan nilai tambah kepada pemegang unit sambil mengekalkan standard tertinggi pelaburan Islam. 

 

"Lembaga pengarah kekal yakin bahawa keupayaan penyelidikan kami akan terus mendorong prestasi mampan merentasi portfolio dana,” jelasnya. - DagangNews.com