PM Anwar mahu pemulihan prasarana, bantuan mangsa banjir Sabah disegerakan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar mahu pemulihan prasarana, bantuan mangsa banjir Sabah disegerakan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau lokasi tanah runtuh di Country Heights Penampang, Kota Kinabalu.

KUALA LUMPUR 19 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah serta membaik pulih kerosakan infrastruktur di negeri itu dilakukan segera.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerja-kerja memperbaiki kerosakan infrastruktur bangunan dan jalan raya akibat bencana alam itu dipercepatkan tanpa mengikut proses biasa.

 

Ia termasuk membina bangunan baharu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh baru-baru ini.

 

"Saya tak mahu ikut proses biasa kerana banjir dan kerosakan ini bukan proses biasa. Kalau kita buat proses biasa, nak siapkan jalan, kemudahan (ambil masa) terlalu lama.

 

“Oleh itu, kita dah minta supaya proses itu dipercepatkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi tanah runtuh di IPG Kampus Gaya di sini, hari ini, diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

 

Sebelum itu Perdana Menteri tiba di Country Heights dan menghabiskan kirakira 30 minit meninjau lokasi kejadian tanah runtuh serta menyantuni penduduk di kawasan berkenaan.

 

anwar banjir 4

 

Perdana Menteri kemudian meneruskan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Paul Kolopis pada pukul 3.25 petang, disambut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang.


Beliau meluangkan kira-kira 15 minit bertanya khabar dan memberi kata semangat kepada mangsa yang ditempatkan di PPS itu, sebelum bergerak ke PPS Kampung Sarapung.


Anwar tiba di Kampung Sarapung pada 4 petang dan menghabiskan kira-kira 30 minit menyantuni penduduk selain mendengar taklimat mengenai kejadian tanah runtuh di kawasan itu.


Pada 12 Sept lepas, seorang lelaki warga emas berusia 97 tahun maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kampung berkenaan.


Keprihatinan Anwar jelas terserlah apabila beliau sendiri bertanya mengenai keperluan dan kebajikan mangsa di setiap lokasi yang dilawatinya, selain mendengar keluhan mereka berhubung masalah kesihatan.

 

“Jangan bimbang, kita akan berusaha sedaya upaya bantu saudara dan saudari semua,” katanya kepada mangsa bencana yang ditemuinya. - BERNAMA