PKS terus dihimpit aliran tunai ketat, bergelut bayar balik pinjaman - Bank Negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PKS terus dihimpit aliran tunai ketat, bergelut bayar balik pinjaman - Bank Negara

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Okt - Bank Negara Malaysia (BNM) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan risiko kredit dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai “kerentanan sedia ada”, berikutan syarikat ini berdepan aliran tunai yang semakin ketat dan sudah pun bergelut untuk membayar balik pinjaman mereka.

 

Menurut Laporan Kajian Kestabilan Kewangan BNM yang dikeluarkan pada Khamis, nisbah pinjaman terjejas kasar bagi PKS meningkat sedikit kepada 3.6% pada separuh pertama 2025 (1H2025), berbanding 3.5% pada separuh kedua 2024 (2H2024). Sebaliknya, nisbah bagi keseluruhan sektor perniagaan kekal stabil pada 3.1%.

 

Bank pusat itu mengaitkan peningkatan cabaran pembayaran balik ini dengan tekanan kos yang berterusan. Kos barangan dijual (COGS) sebagai peratusan hasil meningkat kepada 75.4% berbanding 74.9% pada akhir 2024, yang terus menekan margin keuntungan.

 

Keadaan ini memaksa sebilangan kecil PKS menggunakan rizab tunai mereka bagi menguruskan kos yang meningkat dan aliran tunai yang ketat, yang sering diburukkan lagi oleh kelewatan kutipan bayaran serta tempoh pembayaran yang lebih singkat.

 

Namun begitu, BNM menjelaskan, cabaran pembayaran balik ini kekal terhad kepada peminjam yang sudah mempunyai kelemahan sedia ada dalam sektor-sektor tertentu seperti pembuatan, pembinaan, serta perdagangan borong dan runcit.

 

“Pelaksanaan berterusan strategi pengurusan aliran tunai dan kos oleh PKS, bersama-sama dengan penyaluran beransur-ansur peningkatan kos kepada pelanggan, telah membantu menyokong keupayaan pembayaran balik mereka dan mengehadkan kemerosotan dalam kualiti pinjaman bagi segmen ini,” katanya.

 

Syarikat-syarikat yang lebih besar, menurut BNM, disokong oleh kedudukan kewangan yang lebih kukuh berbanding sebelum pandemik.

 

Pada separuh kedua 2025 (2H2025), pelaksanaan beberapa langkah dasar domestik dijangka meningkatkan lagi kos operasi perniagaan.

 

Punca beban kewangan PKS

Antara langkah yang mula dikuatkuasakan pada separuh kedua tahun ini termasuk peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kenaikan tarif air dan pelarasan tarif elektrik, sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing, serta penstrukturan semula subsidi bahan api RON95 yang dilaksanakan pada penghujung bulan lepas.

 

Firma-firma juga sedang berdepan tarif Amerika Syarikat, namun permintaan domestik yang kukuh, permintaan global terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E), pelancongan masuk dan pengembangan aktiviti pelaburan dijangka menyokong prospek perniagaan, kata BNM.

 

Harga input yang semakin sederhana seperti komoditi serta strategi pengurusan kos berterusan oleh firma-firma dijangka “dapat mengurangkan sebahagian tekanan tersebut,” kata BNM.

 

“Selain itu, permintaan domestik yang kukuh dan aktiviti pelaburan yang berterusan akan kekal sebagai tonggak utama yang menyokong daya tahan perniagaan,” tambahnya. - DagangNews.com