KUALA LUMPUR 10 Julai – Nihon M&A Center Malaysia, firma penasihat penggabungan dan pengambilalihan (M&A) terkemuka dari Jepun, telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan YYC, salah satu firma perakaunan terbesar di Malaysia untuk meningkatkan pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.
Kerjasama strategik itu menggabungkan kepakaran global Nihon M&A Center dan rangkaian pembeli antarabangsa dengan capaian meluas YYC dalam pasaran tempatan untuk membantu lebih ramai pemilik perniagaan mengenal pasti nilai syarikat mereka.
Jalinan kerjasama itu bermula semasa pandemik Covid-19 apabila sebuah syarikat tersenarai dari Jepun mengambil alih sebuah PKS Malaysia yang kemudiannya mencatat pertumbuhan hasil lebih 70 peratus selepas penggabungan.
MoU terbaharu itu akan memperkukuhkan lagi kerjasama untuk memudahkan akses kepada proses M&A untuk PKS Malaysia.
Pelanggan YYC akan mendapat manfaat melalui seminar M&A yang dikendalikan pakar sesi konsultasi pra-perjanjian serta akses terus kepada pelabur berpotensi dari Jepun, Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YYC, Datin Shin Yap berkata, matlamat pihaknya bukan sekadar membantu pelanggan kekal bertahan malah membina perniagaan yang mampan dan boleh dijual.
“Kami anggarkan 5% hingga 10% daripada 20,000 pelanggan kami berpotensi menjadi sasaran M&A dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Nihon M&A Center Malaysia sebagai rakan strategik kami boleh menawarkan nasihat kukuh dan berstrategi kepada pelanggan kami untuk melangkah ke fasa seterusnya,” katanya.
YYC yang ditubuhkan pada 1974 telah membantu ribuan perniagaan berkembang termasuk yang kini disenaraikan di Bursa Malaysia serta meluaskan operasi ke peringkat antarabangsa.
Melalui kerjasama itu, YYC mengukuhkan peranannya dalam memastikan kelangsungan perniagaan menerusi khidmat nasihat M&A.
Sementara itu, Ketua Serantau Asia Tenggara Nihon M&A Center, Yusuke Ojima berkata, mereka akan memanfaatkan MoU itu agar memberi impak dalam membuka akses PKS kepada bimbingan M&A yang profesional.
Beliau berkata, perjanjian itu juga mengukuhkan komitmen mereka untuk membantu PKS berkembang beralih dan berjaya dengan keyakinan.
"Nihon M&A Center telah menyempurnakan lebih 10,000 transaksi di seluruh dunia dalam tempoh lebih 30 tahun menjadikannya firma penasihat M&A bebas terbesar di Jepun.
"Cawangan Malaysia yang ditubuhkan pada Mac 2020 memberi tumpuan kepada transaksi silang sempadan terutama antara Malaysia dan Jepun dengan sokongan lebih 700 profesional global.
"Memandangkan PKS mewakili lebih 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia serta menjadi penyumbang penting kepada penciptaan pekerjaan dan KDNK, kerjasama ini bukan sekadar satu usaha strategik malah menjadi inisiatif penting dalam memperkukuh ekosistem perniagaan negara ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing," katanya. - DagangNews.com








