PKS bukan pengeksport juga berdepan peningkatan kos - Samenta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PKS bukan pengeksport juga berdepan peningkatan kos - Samenta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mei — Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berkata, sebahagian besar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak mengeksport turut berdepan dengan peningkatan kos dan pengurangan permintaan domestik.


Presidennya, Datuk William Ng berkata, kebanyakan asas perniagaan PKS di negara ini masih lagi sebenarnya terdedah kepada risiko susulan gangguan perdagangan global disebabkan isu kesan pelaksanaan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).


Beliau menggesa pihak kerajaan supaya memperluaskan langkah sokongannya untuk perniagaan PKS kerana lebih 84 peratus daripada mereka tidak mengeksport sebaliknya beroperasi dalam sektor domestik seperti perkhidmatan, runcit dan logistik.


"Ada terlibat aktiviti pembinaan serta makanan dan minuman dengan perniagaan ini akan mendapat kesan sama apabila kos input meningkat, rantaian bekalan kurang, dan perbelanjaan pengguna mula menguncup," katanya dalam satu kenyataan.


William menambah, ancaman sebenar kepada PKS tempatan bukan terletak pada kehilangan akses kepada pasaran global, tetapi dalam menahan tekanan inflasi tanpa mereka memiliki jaringan keselamatan tersedia seperti syarikat yang lebih besar.


Tarif AS dan gangguan perdagangan global lebih luas kata beliau, bukanlah cabaran dihadapi hanya oleh pengeksport, sebaliknya pengusaha PKS di seluruh Malaysia juga terdedah serta memerlukan sokongan kerajaan untuk meneruskan operasi.


Bagaimanapun beliau memuji tindak balas pantas kerajaan terhadap tarif timbal balik AS apabila meningkatkan RM1 bilion dalam Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan RM500 juta lagi dalam pinjaman mudah untuk pengeksport.


"Kami menghargai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan kerana langkah sokongan yang disasarkan itu adalah tepat pada masanya dan penting untuk menyokong pengeksport dalam kalangan PKS kami," kata William. - DagangNews.com