KUALA LUMPUR 10 April – Pinehill Pacific Bhd memperoleh kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk menangguhkan proses penyahsenaraian sehingga 30 April 2026 bagi memberi ruang kepada syarikat menyelesaikan skim kompromi dan penyusunan semula (SCR).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kelulusan berkenaan diberikan menerusi surat bertarikh 9 April 2026, susulan pengumuman pada 1 April mengenai penangguhan penggantungan dan penyahsenaraian sementara menunggu keputusan rayuan lanjut.
SCR tersebut merupakan pelan penyusunan semula melibatkan pihak berkepentingan bagi memperkukuh kedudukan kewangan syarikat.
Bursa Malaysia dalam masa sama menegaskan sekiranya Pinehill Pacific gagal menyelesaikan SCR menjelang tarikh akhir 30 April, sekuritinya boleh disingkirkan daripada senarai rasmi dan proses penyahsenaraian akan dilaksanakan dalam tempoh dua hari dagangan selepas notis dikeluarkan.
Pinehill Pacific merupakan syarikat pelaburan dan perladangan yang mempunyai sejarah panjang dalam sektor kelapa sawit di Malaysia.
Asalnya dikenali sebagai Benta Plantations Berhad, syarikat ini telah ditubuhkan sejak awal abad ke-20 dan kemudiannya berkembang sebagai pemain dalam industri perladangan, khususnya melalui aset ladang kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia.
Sepanjang operasinya, syarikat ini banyak bergantung kepada aktiviti perladangan sebagai sumber pendapatan utama.
Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tumpuan operasinya semakin mencabar berikutan prestasi kewangan yang lemah serta tekanan terhadap aliran tunai, sekali gus memberi kesan kepada keupayaan syarikat untuk mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil.
Bagi mengurangkan tekanan hutang dan memperkukuh kedudukan kewangan, Pinehill Pacific sebelum ini turut melaksanakan pelupusan aset termasuk penjualan ladang kelapa sawit dan kilang kepada pemain industri lain. Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha penstrukturan semula yang telah lama dijalankan bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat.
Bagaimanapun, prestasi kewangan yang berpanjangan dalam keadaan mencabar telah membawa syarikat kepada fasa pemulihan lebih kritikal, termasuk pelaksanaan SCR yang bakal menjadi penentu utama sama ada syarikat dapat kekal disenaraikan di Bursa Malaysia atau sebaliknya menghadapi risiko penyahsenaraian. - DagangNews.com








