KUALA LUMPUR 25 Nov – Pacific Inter-Link Sdn Bhd (PIL), antara peneraju global dalam industri minyak makan dan barangan pengguna, menyertai program GoGreen Plus oleh DHL Express bagi mengurangkan pelepasan karbon penghantaran antarabangsa melalui penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF), langkah yang dijangka menjana pengurangan emisi sehingga 90 peratus selaras strategi kelestarian jangka panjang syarikat.
Menurut PIL, usaha ini menandakan penyertaan penting dalam menangani pelepasan Scope 3, selepas syarikat lama memantau dan mengurus Scope 1 dan Scope 2 operasi mengikut Protokol GHG.
Mengulas mengenai potensi SAF, Ketua Pegawai Operasi PIL, Sriram Iyer berkata bahan api mampan itu memainkan peranan besar dalam memacu matlamat iklim sambil menyokong permintaan industri penghantaran udara.
“Ketika peralihan ke arah net zero semakin pesat, bahan api boleh diperbaharui menawarkan laluan praktikal untuk dekarbonisasi. Kerjasama kami dengan DHL Express mengukuhkan komitmen PIL terhadap operasi hijau serta kecekapan karbon,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.
SAF dihasilkan daripada bahan buangan seperti minyak masak terpakai dan sisa industri dan mampu mengurangkan gas rumah kaca sehingga 80 peratus berbanding bahan api jet konvensional, menjadikannya antara penyelesaian paling efektif untuk menyahkarbonkan sektor penerbangan.
DHL Express menegaskan penyertaan PIL sebagai langkah penting memperluas penggunaan SAF dalam industri logistik global.
“Syarikat berbangga menyambut Pacific Inter-Link dalam GoGreen Plus dalam meningkatkan kesedaran dan penggunaan SAF sebagai pemacu utama masa depan rendah karbon bagi sektor penerbangan,” kata Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo.
“Bersama-sama, syarikat mengambil langkah penting memperbesarkan teknologi ini dan mempercepat peralihan kepada penyelesaian yang mengurangkan emisi dalam operasi logistik. DHL akan terus memacu momentum bagi meningkatkan pengeluaran, ketersediaan dan akses kepada SAF,” katanya.
Menurut DHL, rangkaian penghantaran udara menyumbang sekitar 70 peratus daripada jejak karbon DHL Group, menjadikan transformasi udara mampan sebagai komponen kritikal dalam usaha pengurangan pelepasan global kumpulan itu.
Produk GoGreen Plus DHL menawarkan penyahkarbonan sebenar melalui penggunaan bahan api mampan dan teknologi karbon rendah dalam rantaian nilai penghantaran.
Model ‘book & claim’ membolehkan DHL menggantikan bahan api fosil dengan SAF dalam rangkaian operasinya, sambil mengagihkan manfaat alam sekitar kepada pelanggan yang melanggan, walaupun penghantaran tidak menggunakan pesawat SAF secara fizikal.
Dilancarkan pada 2023, program ini digerakkan melalui beberapa kontrak SAF bersama rakan seperti BP, Neste, Cosmo Energy dan Cathay Group. - DagangNews.com








