KUALA LUMPUR 3 Julai – Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik, PIE Industrial Bhd dijangka mencatat pemulihan prestasi kewangan bagi suku ketiga tahun ini (3Q2025), menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu meramalkan pemulihan tersebut akan disokong oleh peningkatan tempahan daripada pelanggan superkomputer,
Berdasarkan analisis, PIE memulakan tahun kewangan ini dengan asas yang kukuh, didorong oleh tempahan mantap daripada pelanggan superkomputer pada suku pertama (1Q2025), yang menyumbang 37% kepada jumlah hasil bagi tempoh tersebut.
Namun begitu, Maybank IB menjangkakan akan berlaku sedikit penyusutan dalam jumlah tempahan bagi suku kedua (2QFY2025) susulan sentimen pasaran lebih lemah yang menjejaskan permintaan bagi produk-produk kumpulan dalam tempoh tersebut
"Namun, kami menjangkakan jumlah tempahan akan kembali meningkat pada 3Q2025, menghampiri tahap suku pertama, selaras dengan tanda-tanda pemulihan permintaan, kata firma penyelidikan itu.
Maybank IB turut memaklumkan bahawa prospek pelanggan baharu PIE masih berhati-hati dan menangguhkan keputusan pembelian berikutan semakan semula tarif Amerika Syarikat yang dijadualkan bermula pada 8 Julai ini.
Dalam perkembangan positif, PIE telah menyiapkan ujian rintis bersama pelanggan baharu yang berpangkalan di Amerika Syarikat dalam segmen suis.
Bagaimanapun, keputusan akhir turut ditangguhkan berikutan ketidaktentuan dasar tarif semasa.
Maybank IB mengekalkan unjuran keuntungan PIE dan terus optimis terhadap prospek kumpulan, didorong potensi perolehan pelanggan baharu apabila siapnya kilang keenam tidak lama lagi.
Firma itu turut mengekalkan sasaran harga saham PIE pada RM4.70 sesaham.
Risiko utama yang boleh menjejaskan prestasi kumpulan termasuk permintaan yang lemah, kelewatan operasi, kebergantungan terhadap beberapa pelanggan utama, peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan dasar perdagangan global.- DagangNews.com








