KUALA LUMPUR 25 Mei – Syarikat bioteknologi tempatan, PhytoGaia terus mengukuhkan kedudukan di pasaran antarabangsa menerusi inovasi fitonutrien sawit yang disasarkan kepada industri nutraseutikal global.
Syarikat itu memanfaatkan peluang dalam sektor bioekonomi bernilai tinggi dengan membangunkan bahan berasaskan sawit untuk kegunaan industri kesihatan, makanan dan kecantikan di peringkat global.
Industri nutraseutikal global ketika ini mencatat pertumbuhan kukuh dengan unjuran nilai pasaran mencecah AS$400–AS$600 bilion menjelang 2030, didorong peningkatan permintaan terhadap penyelesaian kesihatan pencegahan berasaskan sains.
Selari dengan perkembangan itu, Malaysia turut menyasarkan pertumbuhan sektor bioteknologi kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus mengukuhkan kepentingan industri ini kepada ekonomi negara.
PhytoGaia menekankan pembangunan fitonutrien sawit seperti tokotrienol, skualen dan karotenoid yang semakin diiktiraf sebagai bahan berasaskan tumbuhan dengan sokongan saintifik dalam bidang penuaan sihat dan kesihatan metabolik.
Antara inovasi utama syarikat ialah STGaia®, iaitu formulasi sinergistik yang menggabungkan tokotrienol dan skualen tumbuhan yang diekstrak daripada buah sawit.
STGaia® dibangunkan bagi menyasarkan tekanan oksidatif serta laluan tindak balas penuaan berkaitan lipid, selain menyokong aplikasi dalam penuaan sihat, kesihatan kulit dan kesejahteraan metabolik.
Naib Presidennya, Bryan See berkata fitonutrien sawit semakin relevan dalam pembangunan produk nutraseutikal moden yang berfokus kepada bahan pelbagai fungsi berasaskan sains.
Beliau berkata PhytoGaia turut memperkukuh usaha penyelidikan bagi mengesahkan lagi peranan STGaia® dalam formulasi berkaitan penuaan sihat, selaras dengan perkembangan sektor tersebut.

“PytoGaia komited untuk terus meneroka inovasi saintifik dengan menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada kesejahteraan pengguna.
“Pencapaian syarikat mencerminkan usaha kolektif pasukan dalam menghubungkan penyelidikan saintifik dengan aplikasi dunia sebenar.
“PhytoGaia akan terus memperkukuh program penyelidikan saintifik dan klinikal serta memperluaskan kehadiran global melalui pembangunan bahan berjenama yang disokong secara klinikal, mampan dan inovatif,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, fokus syarikat kini adalah kepada penuaan secara sihat, kesihatan metabolik, kesejahteraan menyeluruh dan nutrisi haiwan peliharaan, sejajar dengan perkembangan permintaan pasaran global.
Dari segi komersial, syarikat itu menekankan pendekatan untuk merapatkan jurang antara sains dan pengkomersialan dengan menterjemahkan data saintifik kepada naratif yang boleh digunakan oleh formulator dan jenama.
Pendekatan ini turut menyokong rakan industri dalam mempercepatkan pembangunan produk merentasi pelbagai kategori termasuk suplemen pemakanan, makanan berfungsi, kecantikan dan nutrisi haiwan peliharaan.
Kejayaan PhytoGaia turut diperkukuh dengan pengiktirafan di Star Outstanding Business Awards (SOBA) 2025 apabila meraih tiga anugerah utama termasuk Inovasi Terbaik (Platinum), Pemasaran Terbaik (Platinum) dan Perniagaan Terbaik Malaysia.
Selain itu, STGaia® turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai “Ingredient of the Year: Healthy Ageing” di NutraIngredients Asia Awards 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat di peringkat global. - DagangNews.com








