Pharmaniaga beli dua bangunan industri di Terengganu, Sarawak bernilai RM30.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pharmaniaga beli dua bangunan industri di Terengganu, Sarawak bernilai RM30.5 juta

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 31 Okt - Pharmaniaga Bhd memperoleh dua bangunan industri masing-masing di Terengganu dan Sarawak dengan jumlah keseluruhan bernilai RM30.5 juta.

 

Dalam dua pemakluman berasingan kepada Bursa Malaysia, syarikat farmaseutikal itu berkata, pembelian tersebut akan dibiayai menggunakan hasil daripada pelan regularisasi yang merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk memperkukuh infrastruktur logistik serta memperluas kapasiti pengedaran di pantai timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

 

 

 

 

 

Bagi bangunan industri di Terengganu, anak syarikat milik penuh Pharmaniaga, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd, akan membeli sebuah bangunan sesebuah setingkat di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Kuala Nerus daripada Sinoria Sdn Bhd dengan harga RM19.5 juta.

 

Hartanah berkeluasan 11,549 meter persegi di atas tanah pajakan itu telah dinilai oleh Shah Real Property Consultants pada harga RM19.5 juta menerusi laporan bertarikh 24 September 2024. Pemilikan awal dijangka pada 9 Februari 2026 bagi membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian sebelum penyiapan penuh.

 

Sementara itu, bagi hartanah di Sarawak, Pharmaniaga Logistics telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Hyper Shipping Sdn Bhd untuk memperoleh sebuah bangunan industri setingkat di Kidurong Gateway, Bintulu dengan harga RM11 juta.

 

Hartanah berkeluasan 3,731 meter persegi yang terletak di Kawasan Perindustrian Kidurong itu turut dinilai oleh Shah Real Property Consultants pada Oktober 2024, dengan penyerahan kosong dijadualkan pada 9 Januari 2026.

 

Pharmaniaga menjelaskan, kedua-dua pemerolehan ini sejajar dengan tanggungjawabnya di bawah perjanjian konsesi bersama Kementerian Kesihatan yang ditandatangani pada 3 Januari 2023, serta bertujuan meningkatkan kecekapan dalam pengedaran bekalan perubatan di seluruh negara.

 

Pada Ogos lalu, Pharmaniaga telah menyelesaikan pengurangan modal berjumlah RM520 juta — langkah terakhir dalam pelan regularisasinya — yang mengurangkan modal saham terbitan kepada RM249.62 juta.

 

 

 

 

 

 

Penyelesaian itu membuka laluan kepada syarikat untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) menjelang suku pertama 2026.

 

Sebelum pelaksanaan tersebut, Pharmaniaga telah melaksanakan urus niaga pengumpulan dana bernilai RM576 juta, termasuk penempatan persendirian bernilai RM223.7 juta yang menyaksikan Jakel Capital Sdn Bhd muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar dengan pegangan 10%- DagangNews.com