Petros mulakan pengeluaran minyak di Marudi, Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petros mulakan pengeluaran minyak di Marudi, Sarawak

Oleh Muhammad Iman

SIBU 23 Julai – Sarawak melakar sejarah baharu dalam industri minyak dan gas apabila Petroleum Sarawak Berhad (Petros) memulakan pengeluaran sebanyak 800 tong minyak sehari di medan Adong Kechil West (AKW) berhampiran Marudi, sekali gus menandakan kembalinya negeri itu ke sektor huluan selepas lebih 50 tahun.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pencapaian itu merupakan "hadiah" kepada rakyat Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak 2026 yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini.

 

Menurut beliau, pengeluaran tersebut bersamaan kira-kira 24,000 tong minyak sebulan dan membuktikan keupayaan Sarawak dalam mengurus serta membangunkan sumber minyak dan gasnya sendiri.

 

"Kejayaan ini membuktikan teknologi serta keupayaan anak-anak Sarawak.

 

"Ia menunjukkan Sarawak mempunyai pengalaman dan potensi untuk menjadi pemain utama dalam industri minyak dan gas termasuk dalam aktiviti huluan," katanya.

 

Beliau berkata, ketika ini pengeluaran diperoleh daripada sebuah telaga, manakala beberapa lagi telaga dijangka mula beroperasi bagi mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak dalam industri berkenaan.

 

"Ini bermakna Sarawak akan memainkan peranan besar dalam industri minyak dan gas. Insya-Allah, kita akan terus berada di hadapan pada masa depan," katanya, menurut laporan The Borneo Post.


 

petros

 


Fokus kepada industri hiliran bernilai tinggi

Abang Johari berkata, aspirasi tenaga Sarawak tidak terhad kepada pengeluaran minyak mentah semata-mata, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran seperti ammonia dan hidrogen biru bagi meningkatkan nilai sumber asli negeri.

 

Menurut beliau, Sarawak kini beralih daripada model ekonomi yang bergantung kepada eksport bahan mentah kepada pembangunan aktiviti hiliran yang mampu menjana nilai ekonomi lebih tinggi, pekerjaan berkemahiran serta peluang perniagaan.

 

Katanya, gas asli kekal sebagai aset strategik Sarawak dengan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak menjadi strategi jangka panjang untuk membangunkan keseluruhan rantaian nilai gas.

 

Pelan hala tuju itu akan menyokong pembangunan industri melibatkan metanol, ammonia, hidrogen, baja, bahan kimia khusus serta pelbagai produk bernilai tinggi.

 

"Daripada sebuah ekonomi yang mengeksport bahan mentah, kita mahu menjadi ekonomi yang menghasilkan produk berteknologi tinggi untuk pasaran dunia," katanya.

 

Beliau berkata, transformasi itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar bagi menjadikan Sarawak sebagai hab ekonomi utama di Malaysia dan Asia Tenggara.

 

Sasar kapasiti tenaga boleh baharu 15GW menjelang 2035

Abang Johari berkata, Sarawak turut meletakkan sasaran menjadi hab tenaga bersih serantau serta merealisasikan aspirasi sebagai "Bateri ASEAN" menerusi peralihan kepada tenaga hijau.

 

Menurut beliau, kapasiti tenaga boleh baharu yang dipasang di negeri itu disasarkan meningkat daripada 10 gigawatt (GW) pada 2030 kepada 15GW menjelang 2035.

 

"Kita mahu Sarawak menjadi pintu masuk Malaysia ke arah ekonomi hijau, hab tenaga bersih dan pusat industri bernilai tinggi," katanya.

 

Beliau menegaskan agenda pembangunan Sarawak bukan bertujuan memisahkan negeri itu daripada Malaysia, sebaliknya memperkukuh sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

"Sarawak yang lebih kukuh akan melahirkan Malaysia yang lebih kukuh," katanya.

 

Status berpendapatan tinggi bukan matlamat akhir

Beliau berkata, transformasi ekonomi negeri dipacu menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 yang bertujuan mengubah Sarawak daripada ekonomi berasaskan sumber kepada ekonomi yang dipacu pengetahuan, inovasi, teknologi dan industri bernilai tinggi.

 

Abang Johari berkata, Sarawak turut diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai wilayah berpendapatan tinggi selama empat tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2025 serta kekal antara lima ekonomi terbesar di Malaysia.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan status berpendapatan tinggi bukanlah matlamat akhir kerajaan negeri.

 

"Ukuran sebenar kejayaan kerajaan ialah apabila pertumbuhan ekonomi mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, menyediakan pekerjaan berkualiti, memperkukuh perusahaan tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada generasi muda," katanya.

 

Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof; Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, serta menteri-menteri Persekutuan dan Sarawak. - DagangNews.com