Petronas sasar hingga akhir tahun proses penamatan 10% kakitangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas sasar hingga akhir tahun proses penamatan 10% kakitangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Petronas sedang berusaha menyelesaikan proses pemberitahuan kepada semua kakitangan yang terlibat dengan proses penstrukturan semula keseluruhan kumpulan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

 

Kumpulan itu akan mengurangkan kira-kira 10% daripada tenaga kerjanya dalam penstrukturan semula kerana syarikat itu berhasrat mengurangkan kos berikutan kejatuhan harga minyak mentah dan turun naik pasaran yang telah menjejaskan keuntungannya.

 

Syarikat minyak milik kerajaan Malaysia itu akan mengurangkan bilangan pekerja sehingga 5,000 orang. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, bagi memudahkan pelaksanaannya, Petronas akan melaksanakan pembekuan umum terhadap aktiviti pengambilan pekerja sehingga Disember 2026, kecuali bagi jawatan-jawatan kritikal perniagaan yang akan dinilai secara kes demi kes.

 

Beliau berkata, pihaknya kekal komited sepenuhnya bagi menguruskan proses itu dengan ketelusan, keprihatinan dan rasa hormat terhadap semua pekerja yang terkesan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: PETRONAS akan kurangkan 10% tenaga kerja ekoran keuntungan merosot - Tengku Muhammad Taufik

 

"Kami mengakui, proses ini mungkin akan membawa kepada penyesuaian tenaga kerja yang sukar tetapi perlu, dengan anggaran pengurangan sebanyak 10% daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja kami.

 

“Semakan menyeluruh terhadap aset, proses, perbelanjaan dan sumber manusia adalah perubahan asas yang penting bagi Petronas untuk kekal berdaya saing dan memacu pertumbuhan masa depan dalam persekitaran pasaran yang semakin mencabar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pemberhentian Petugas Petronas Banyak Babit Pekerja Kontrak - PM Anwar

 

Transformasi itu dirangka untuk meletakkan Petronas pada kedudukan yang lebih kukuh bagi memastikan ia kekal relevan dalam menghadapi peralihan tenaga yang mencabar.

 

Kumpulan itu juga akan terus meningkatkan daya tahan serta membolehkannya kekal berdaya saing, sambil mempercepatkan pertumbuhan melalui pelaburan yang disasarkan dan membentuk tenaga kerja yang berasaskan nilai serta tangkas. - DagangNews.com