PETRONAS, Petros belum muktamadkan terma deklarasi bersama agihan gas, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS, Petros belum muktamadkan terma deklarasi bersama agihan gas, Parlimen diberitahu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) masih belum memuktamadkan terma serta mekanisme pelaksanaan agihan gas yang dikeluarkan di negeri itu.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kedua-dua pihak masih berbincang bagi memperhalusi kerangka kerjasama berdasarkan prinsip yang dipersetujui, selaras dengan pertimbangan komersial.

 

 

 

 

 

“Kesannya terhadap prestasi kewangan PETRONAS tidak dapat ditentukan pada masa ini kerana terma dan mekanisme pelaksanaan masih dalam peringkat rundingan dan belum dimuktamadkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

 

Beliau menjawab soalan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai implikasi kewangan deklarasi bersama tersebut terhadap PETRONAS.

 

Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menandatangani deklarasi bersama pada 21 Mei lalu yang menetapkan prinsip-prinsip asas bagi memudahkan rundingan lanjut antara PETRONAS dan Petros.

 

Antara perkara yang dipersetujui ialah semua undang-undang Persekutuan dan Sarawak berkaitan agihan gas akan wujud bersama serta dihormati semua pemain industri di negeri itu, selain Petronas kekal memainkan peranannya di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974.

 

Petros pula akan menjadi pengagregat gas untuk pasaran domestik Sarawak bermula 1 Mac 2025, dengan semua pihak industri perlu mengiktiraf pelantikan tersebut.

 

Selain itu, PETRONAS akan mengekalkan peranannya di seluruh rantaian nilai daripada aktiviti huluan sehingga jualan LNG antarabangsa, dengan semua perjanjian jualan LNG sedia ada antara PETRONAS dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga tidak akan terjejas.

 

Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak 

 

Sementara itu, dalam jawapan bertulis berasingan kepada Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran), Azalina menjelaskan bahawa PETRONAS hanya menghentikan operasi pada beberapa bahagian Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) yang melalui Lawas, Limbang, Miri dan Bintulu di Sarawak.

 

Bahagian lain saluran paip itu, termasuk di Sabah, masih beroperasi seperti biasa.

 

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas penilaian teknikal dan keselamatan yang mendapati pergerakan tanah berulang serta faktor lain telah menjejaskan integriti struktur segmen terlibat, sekali gus menimbulkan risiko kepada keselamatan operasi dan komuniti berhampiran.

 

Azalina menambah bahawa penutupan sebahagian operasi ini tidak akan menjejaskan komitmen PETRONAS kepada pelanggan, pihak berkepentingan, atau obligasi bekalan tenaga yang telah dipersetujui.

 

Pada Januari lalu, Petronas dalam laporan Activity Outlook mengumumkan ia akan menyahkhidmatkan SSGP sebagai sebahagian daripada pelan penyahkhidmatan dari 2025 hingga 2027.

 

 

 

 

 

“Bagi tempoh tiga tahun akan datang, pelan penyahkhidmatan termasuk penutupan dan pengabaian kira-kira 153 telaga, pengabaian 37 fasiliti luar pesisir dan satu fasiliti darat iaitu Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP),” menurut laporan tersebut.

 

Saluran paip gas asli sepanjang 500 kilometer yang menghubungkan Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis, Sabah, ke kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak itu dibina pada 2011 dan siap pada 2014 dengan kos melebihi RM4 bilion.  - DagangNews.com