KUALA LUMPUR 15 Ogos – Pemilikan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) kekal di bawah Kerajaan Persekutuan walaupun langkah-langkah telah diambil untuk meningkatkan penglibatan negeri-negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau menambah, usaha meningkatkan penglibatan negeri itu termasuk melalui platform kerjasama strategik, pelaksanaan projek bersama serta penglibatan dalam rantaian nilai.
Katanya, pendekatan Kerajaan Persekutuan sejajar dengan struktur persekutuan yang inklusif serta memastikan manfaat berterusan kepada semua pihak.
Azalina menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan adalah pemilik tunggal PETRONAS, yang diperbadankan di Bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat minyak dan gas negara.
Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144) memperuntukkan bahawa PETRONAS memiliki hak milik petroleum, termasuk hak eksklusif, kuasa, kebebasan dan keistimewaan untuk meneroka, mengurus dan membangunkan sumber petroleum negara, sama ada di darat, luar pesisir atau perairan Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan untuk mengagihkan 50 peratus pegangan saham PETRONAS kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas, iaitu Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan.
Menurut Jeffrey, pengagihan tersebut adalah langkah asas untuk memperkukuh Persekutuan Malaysia pada masa hadapan serta meredakan politisasi dan rasa tidak puas hati berkaitan hak minyak dan gas.
Azalina berkata, walaupun pemilikan PETRONAS berada di bawah Kerajaan Persekutuan, pendekatan semasa membolehkan negeri pengeluar menerima manfaat langsung daripada industri petroleum melalui pembayaran tunai serta pelbagai bentuk kerjasama komersial.
“Pada masa yang sama, hasil keseluruhan sektor ini diagihkan secara adil ke seluruh negara selaras dengan keperluan pembangunan negara,” tambahnya. - DagangNews.com








