KUALA LUMPUR 3 April - Insiden kebakaran di Putra Heights pada 1 April 2025 dijangka mengakibatkan kemerosotan nilai sekali sahaja sekurang-kurangnya RM18 juta hingga RM25 juta kepada Petronas Gas Berhad (PetGas), menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, ia menganggarkan dari segi kewangan terdapat pengurangan nilai berkenaan termasuk kehilangan hasil untuk saluran paip yang terjejas antara 10 hingga 15 peratus dan pembaikan kerosakan dari 25 hingga 30 peratus.
Selain itu katanya, syarikat tersebut turut kemungkinan terjejas untuk pembayaran pampasan awam antara 25 hingga 35 peratus serta kos pengurusan reputasi.
“Bagaimanapun, ini adalah anggaran minimum kami dan sangat bergantung pada jenis kerosakan yang disebabkan isu perubatan, harta benda dan masa pemulihan,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu juga menganggarkan, kos tambahan sekurang-kurangnya RM5 juta untuk pampasan kepada pelanggan industri jika operasi mereka terjejas secara langsung disebabkan saluran paip yang rosak.
Ini termasuk isu kelewatan bekalan, sumber gas yang dialihkan dan pelbagai lagi gangguan lain kerana pembaikan berkaitan letupan itu boleh mengambil masa sehingga berbulan-bulan.
Artikel berkaitan: Kebakaran paip gas di Putra Heights: Kawasan umpama medan perang
Sekiranya pelanggan tidak terjejas secara langsung, pampasan mungkin hanya bernilai beberapa jam atau hari pula, tambah MIDF.
“Buat masa ini kami menganggarkan kesan kewangan berkaitan isu saluran paip tersebut adalah sekitar satu sehingga 1.5 peratus daripada jumlah pendapatan PetGas.
"Kami berpendapat kes ini akan menyebabkan harga sahamnya turun kepada kira-kira -1.8 peratus kepada -2.1 peratus dalam jangka pendek," kata firma penyelidikan itu.
Ia menyatakan bahawa kesan jangka panjang akan bergantung pada keberkesanan PetGas menguruskan kesannya dan sebarang kos sekali sahaja yang ketara juga boleh menjejaskan pendapatan masa depan syarikat itu.
MIDF turut mengekalkan saranan "beli" ke atas PetGas dengan harga sasaran RM18.67 sesaham.
Ia menyatakan bahawa PetGas telah bertindak balas dengan baik terhadap penutupan awal saluran paip yang rosak serta dijangka menjalankan usaha wajar untuk memastikan operasi diteruskan dalam garis masa pemulihan dirancang, selamat dan menjimatkan kos. - DagangNews.com








