KUALA LUMPUR 30 Jan — Kegagalan PETRONAS untuk mencapai sebahagian besar sasaran aktiviti yang dirancang sepanjang 2025, terus membayangi prospek sektor minyak dan gas (O&G) di Malaysia.
Menurut analisis terkini oleh Maybank Investment Bank (Maybank IB), situasi lemah tersebut turut ditambah dengan perbelanjaan modal (capex) domestik syarikat petroleum nasional itu yang kekal rendah.
Jelasnya, berdasarkan PETRONAS Activity Outlook (PAO) 2026–2028, firma penyelidikan berkenaan menyatakan pencapaian aktiviti pada tahun lalu sebenarnya berada jauh di bawah perancangan asal.
"Keadaan ini mencerminkan pendekatan berhati-hati PETRONAS terhadap capex domestik, justeru kami mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor O&G Malaysia," katanya dalam satu nota hari ini.
Antara kekurangan ketara dikenal pasti Maybank IB, termasuk tiada penyerahan kapal jenis FPSO/FSO berbanding sasaran dua unit, dan bilangan kapal sokongan pesisir (OSV) bagi aktiviti penggerudian.
Selain itu, kurang projek untuk penyambungan dan pentauliahan (HUC), penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM), serta pemasangan saluran paip dan penggunaan bahan kimia pengeluaran.
Menurut firma penyelidikan tersebut, kelemahan prestasi ini mengukuhkan pandangan bahawa 2026 juga dijangka menjadi satu lagi tahun dengan capex domestik yang sederhana kepada sektor O&G tempatan.
Artikel berkaitan: Aktiviti huluan petroleum dijangka pulih, PETRONAS rancang tingkatkan penerokaan dan pengeluaran, menurut laporan Activity Outlook
"Walaupun unjuran perbelanjaan secara keseluruhan adalah kekal rendah, PAO 2026–2028 sebaliknya menunjukkan peningkatan aktiviti dalam beberapa segmen kecil yang tertentu," jelas Maybank IB.
Ini termasuk fabrikasi struktur tetap seperti kemudahan pelantar, kapal FPSO, pelbagai aktiviti loji hiliran darat, pembekalan saluran paip, penukaran enjin turbin gas serta banyak aktiviti HUC.
Berdasarkan perkembangan ini, ia melihat potensi manfaat kepada beberapa pemain industri seperti Pantech Group, Wasco, MISC, Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE), Steel Hawk, dan Deleum.
Sebaliknya, firma itu menjangkakan kemerosotan aktiviti dalam beberapa segmen pada 2026, termasuk bilangan OSV operasi pengeluaran dan penggerudian, kerja MCM, serta bahan kimia pengeluaran.
"Antara syarikat yang dijangka terjejas pula ialah Dayang Enterprise, Keyfield, Perdana Petroleum, Uzma, Petra Energy, Carimin Petroleum, Marine & General dan Sealink International," tambahnya lagi.
Secara keseluruhan, Maybank IB berpandangan yang sektor O&G di Malaysia masih memerlukan pemangkin baharu sebelum proses pemulihan dengan lebih menyeluruh dapat dicapai dan memberi kesan rantaian.
Para pelabur pula jelasnya, disaran memberi tumpuan kepada subsegmen yang menunjukkan peningkatan aktiviti dan keterlihatan pendapatan stabil, dengan Dialog Group kekal pilihan firma itu. - DagangNews.com








