Aktiviti huluan petroleum dijangka pulih, PETRONAS rancang tingkatkan penerokaan dan pengeluaran, menurut Laporan Activity Outlook | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aktiviti huluan petroleum dijangka pulih, PETRONAS rancang tingkatkan penerokaan dan pengeluaran, menurut Laporan Activity Outlook

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Jan — Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menjangkakan pemulihan dalam aktiviti huluan petroleum apabila syarikat minyak dan gas nasional itu merancang untuk meningkatkan semula aktiviti penerokaan dan pengeluaran dalam tempoh tiga tahun akan datang, selepas mencatatkan kelembapan pada 2025.

 

Menurut laporan tahunan Activity Outlook terbaharu, jumlah telaga yang akan dibangunkan dan diterokai dijangka meningkat kepada 91 telaga tahun ini berbanding 79 telaga pada tahun lalu. PETRONAS turut menjangkakan aktiviti penutupan dan pelupusan telaga (plug and abandon) meningkat kepada 70 telaga, berbanding 63 telaga pada 2025.

 

“PETRONAS akan memberi tumpuan kepada usaha menggiatkan semula landskap penerokaan dan pengeluaran Malaysia bagi mengukuhkan keselamatan tenaga domestik,” kata syarikat itu dalam laporan yang diterbitkan setiap tahun.

 

Bagi menyokong agenda tersebut, PETRONAS akan memperhebatkan penerokaan di kawasan baharu dan matang, mempercepatkan proses penilaian penemuan terkini serta memastikan pemajuan sumber dapat dilaksanakan tepat pada masanya.

 

Antara projek utama yang dikenal pasti termasuk Medan Belud di luar pesisir Sabah, serta Medan Kurma Manis dan Medan Sepat di luar pesisir Semenanjung Malaysia.

 

Seiring peningkatan aktiviti penggerudian dan perkhidmatan telaga, PETRONAS turut menjangkakan permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan tubular, yang kebanyakannya bergantung kepada bilangan telaga pembangunan.

 

Selain itu, permintaan bagi kapal sokongan luar pesisir dijangka kekal stabil, namun jumlah jam kerja bagi aktiviti penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir dijangka menurun secara berperingkat dalam tempoh 2026 hingga 2028, menurut laporan berkenaan. - DagangNews.com