KUALA LUMPUR 25 Ogos - Peluang besar menanti penyedia perkhidmatan huluan apabila PETRONAS Carigali Sdn Bhd dijangka menganugerahkan kontrak pelucutan tauliah infrastruktur (decommissioning) bernilai RM2-3 bilion menjelang penghujung tahun ini, kata CIMB Securities.
Meskipun PETRONAS Carigali belum membuat sebarang kenyataan rasmi, namun telah berlegar dalam kalangan pemain perkhidmatan huluan bahawa proses tender rasmi telah pun dimulakan sejak 29 Jun 2025.
Ia merangkumi tiga pakej kerja pelucutan tauliah bersepadu dan pembongkaran 31 struktur luar pesisir.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah ini adalah isyarat jelas usaha mempercepatkan pelucutan tauliah oleh PETRONAS, sejajar dengan keadaan infrastruktur luar pesisir Malaysia yang semakin uzur.
Dalam nota penyelidikannya, CIMB Securities memberitahu Dayang Enterprise Holdings Bhd menjangkakan pemberian kontrak pelucutan tauliah dilakukan menjelang akhir 2025, dengan operasi dijangka dimulakan sejurus selepas itu.
Menilai situasi semasa firma itu meletakkan Dayang sebagai antara calon kuat untuk memenangi sebahagian besar kontrak, terutamanya pakej Sarawak bernilai RM1.2 bilion.
“Dayang mempunyai rekod prestasi mantap dalam projek brownfield luar pesisir dan armada marin sedia ada, menjadikannya calon ideal untuk kontrak pelucutan tauliah akan datang.
"Syarikat juga telah mengemukakan bidaan bagi pakej Sarawak, Sabah, dan Semenanjung Malaysia, seiring strategi mereka memasuki segmen aset akhir hayat,” kata CIMB Securities.
Penganugerahan kontrak ini dijangka meningkatkan pendapatan Dayang bermula FY2026.
"Kontrak pelucutan tauliah itu akan diberikan secara sekaligus, yang berpotensi membolehkan syarikat mendapat manfaat daripada pelaksanaan yang cekap dan pengoptimuman kos, yang boleh diterjemahkan kepada margin keuntungan yang lebih baik," tambah firma itu lagi.
CIMB Securities mengekalkan penarafan HOLD dengan sasaran harga RM1.70, sambil menekankan risiko pertikaian Petronas-Petros yang mungkin menjejaskan kelancaran kontrak.
Ketika berita ini ditulis, saham Dayang menokok satu sen atau 0.6% kepada RM1.76, manakala nilai kumpulan itu berada pada RM2.04 bilion. - DagangNews.com








