KUALA LUMPUR 21 Mei — Petronas Chemicals Group Berhad (PCH) dijangka masih kekal berdepan kelemahan hasil pada suku kedua tahun kewangan 2025, dengan pemulihan ketara diunjur hanya berlaku pada separuh kedua 2025, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, harga urea dan metanol, yang sebelum ini telah menyumbang secara positif kepada prestasi kumpulan itu, didapati semakin berkurangan menjelang tempoh 2QFY25 kerana pelbagai faktor sokongan diterimanya lebih awal beransur-ansur hilang.
Ini katanya, termasuk harga bahan suapan dan kekangan bekalan dengan ia turut menjangkakan segmen baja serta metanol kumpulan tersebut mencatatkan hasil yang lebih rendah pada suku akan datang selain bahagian olefin dan derivatif (O&D) diunjur terus tertekan pada 2QFY25.
"Keadaan itu diramal boleh menjejaskan keuntungan segmen berkenaan memandangkan berlaku gangguan stok suapan yang berterusan di Petrochemicals Sdn Bhd (PPC) dan isu bekalan utiliti melibatkan beberapa lojinya di Kertih," kata HLIB Research dalam satu nota kajiannya.
Di samping itu tambahnya, harga poliolefin dijangka menurun, ketika potensi kesan kelembapan permintaan yang dicetuskan oleh pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS) dan penurunan harga minyak mentah global baru-baru ini yang telah mengurangkan kos bahan suapan naphtha.
Artikel berkaitan: Petronas Chemicals catat hasil RM7.7 bilion pada 1QFY25 dipacu harga tinggi jualan kimia
Berdasarkan kepada masalah operasi di PPC dan Kertih itu, firma penyelidikan tersebut turut menjangkakan keuntungan PCG akan masih lagi kekal tertekan pada tempoh 2QFY25 dengan hanya akan mengalami proses pemulihan secara lebih bermakna menjelang 2HFY25.
HLIB Research menjangkakan sektor petrokimia akan kekal sebagai amat mencabar berikutan pemacu pengembangan kapasiti China yang semakin agresif, ditambah pula dengan isu prospek permintaan tidak memberangsangkan daripada sektor hiliran.
"Operasi PPC tidak membantu PCG, yang menyumbangkan susut nilai dan asas kos faedah jauh lebih tinggi serta tidak dilindungi oleh pendapatan negatif sebelum sumbangan faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, sekali gus mengakibatkan pencairan ketara hasil masa hadapan," katanya.
Pendapatan teras turun sebanyak 84 peratus tahun ke tahun (YoY) apabila perniagaan O&D jatuh kepada ruang negatif manakala kekurangan hasil tersebut disebabkan oleh gangguan operasi yang meluas berlaku dalam segmen O&D, sehingga menjejaskan kedua-dua PPC dan Kertih.
Selaras dengan perkembangan pendapatan teras 1Q25 yang lemah sebanyak RM79 juta, HLIB Research juga telah menurunkan unjuran hasil pada FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 38 peratus dan enam peratus, serta memperkenalkan ramalan FY27 sebanyak RM1.8 bilion.
Firma tersebut bagaimanapun mengekalkan saranan "jual" ke atas PCG, dengan harga sasaran yang lebih rendah sebanyak RM2.50 sesaham. - DagangNews.com








